Pelakon Que Haidar menegur sikap individu yang tidak menggunakan etika kerja dengan betul ketika ingin menawarkannya berlakon dalam sebuah telefilem.
Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 41, individu tersebut sepatutnya terlebih dahulu menerangkan lebih terperinci mengenai projek yang ditawarkan sebelum bertanya soal tarikh.
Kesal dengan tindakan tersebut, Que terpaksa menolak tawaran tersebut tanpa mengetahui terlebih dahulu naskhah terbabit.
“Mungkin pelakon lain boleh tutup mata, tapi saya memang tidak gemar bila anda nak saya menyertai sesuatu projek anda bertanya tentang masa saya dahulu.
“Maaf sekali lagi… saya rasa etika kerjanya tak betul. Anda sepatutnya bentangkan apa isi projek tersebut, pengarahnya, jalan ceritanya, wa-taknya, barisan pemain yang lain, lokasinya dan lain-lain.
“Biar pelakon itu sendiri bertanyakan tarikh tersebut. Ini bukan untuk pelakon saja tapi gunakan cara ini dengan semua pekerja filem. Maaf sekali lagi saya terpaksa menolak tawaran anda sebelum saya ambil tahu tentangnya,” katanya.
Pelakon filem Ophilia ini memberi teguran tersebut menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan Que itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya kurang setuju apabila aktor itu berkongsi perbualan tersebut di laman sosial.
“Etika kerja banyak cara bro… mungkin cara dia macam itu. Mungkin cara bro pun macam itu. Sama-sama cari makan… tak salah pun memberi dan menerima,” komen beberapa warganet. Dalam pada itu, Que menjelaskan perkongsiannya itu hanya untuk memberi kesedaran kepada pihak tertentu tentang etika kerja yang betul seperti yang pernah dipelajarinya dahulu. – Agensi