Que selami jiwa lelaki lembut

Biarpun bersikap selektif dalam memilih naskhah lakonan, namun nama Que Haidar tidak terpinggir apabila terus menjadi pilihan pengarah membintangi drama mahupun telefilem hebat.

Kemunculan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Skrin TV3 menerusi drama Terlerai Takbir Kasih pada 2009 itu hanya sesekali muncul di kaca televisyen (TV), tetapi ia memberi impak dan lakonannya sering diingati.

Sekian lama tidak muncul, Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar membintangi telefilem Pencipta Pegang Waktu yang disiarkan di TV3 pada Jumaat lalu.

Menerusi telefilem arahan Zainorhisyam Samudin itu, Que bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Khir Rahman dan Puteri Balqis.

Que berkata, prinsipnya yang selektif memilih sesebuah karya adalah satu perkara yang membuatnya selesa, biarpun kelibatnya jarang kelihatan di kaca TV.

Que Haidar bergandingan dengan pelakon berpengalaman dalam telefilem Pencipta Pegang Waktu yang disiarkan di TV3. – Agensi

“Saya memilih dalam menilai setiap naskhah drama mahupun telefilem. Lebih tepat, saya sebenarnya sangat memilih.

“Allah memilih seseorang sebagai individu yang berpengaruh tentu ada sebab mendalam. Bukan sekadar mencari rezeki dengan pengaruh dimiliki, tetapi ia daripada itu.

“Saya melihat tanggungjawab cukup untuk masyarakat. Ia termasuklah mendidik, mempengaruhi, menjadikan contoh baik untuk masyarakat dan industri hiburan,” katanya.

Suami kepada Linda Jasmine itu berkata, ini kali kedua memegang watak lelaki lembut dan terbaharu menerusi telefilem Pencipta Pegang Waktu.

Bagaimanapun, katanya, percubaannya menerusi watak Zee itu lebih istimewa. Malah, lebih teruja apabila bergandingan dengan Fauziah atau Kak Ogy.

“Bagi saya, ia satu kenangan istimewa dapat bergandingan dengan primadona hebat itu.

Dari kecil, saya membesar dengan lakonan Kak Ogy. Saya teruja berlakon bersamanya.

“Kalau ikutkan, ini kali kedua saya bergandingan dengannya. Cuma, drama yang kami berlakon bersama dahulu tak disiarkan. Saya sendiri tak tahu kenapa jadi begitu.

“Saya juga sudah dua kali berlakon di bawah arahan Kak Ogy.

Untuk kali ini, saya bukan sahaja dapat berkongsi rasa, memberi gelaran baharu padanya iaitu Mama Sasa watak yang dipegang,” katanya. – Agensi