Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Queen’s Baton tiba di Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Negara Brunei Darussalam sekali lagi menerima penghormatan sebagai negara ke-30 yang menghoskan dan mengalu-alukan acara Queen’s Baton Relay di mana secara tradisional ia merupakan pembuka tirai bagi Sukan Komanwel 2022 yang akan berlangsung di Birmingham, United Kingdom (UK)pada 28 Julai hingga 8 Ogos nanti.

    Sehubungan itu, baton yang memulakan perjalanannya di Istana Buckingham pada 7 Oktober 2021 dengan Ratu Elizabeth II berkenan memasukkan perutusan khas Baginda kepada Komanwel dalam baton berkenaan, kini sedang meneruskan perjalanan selama 269 hari meliputi jarak 140,000 kilometer serta berkunjung ke setiap pelosok Komanwel.

    Suruhanjaya Tinggi British bersama dengan Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan acara The Queen’s Baton Relay Walk and Breakfast untuk menandakan ketibaan Queen’s Baton di Negara Brunei Darussalam.

    Acara itu sepatutnya menyaksikan baton berkenaan dibawa mengelilingi dan melalui beberapa buah mercu tanda terkenal di Bandar Seri Begawan termasuk Taman Mahkota Jubli Emas, hari ini, tetapi disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, acara penye-rahan baton telah diadakan di Hotel Brunei, Bandar Seri Begawan.

    Hadir untuk menerima baton pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dari negara-negara Komanwel di Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai daripada BDNOC, Jabatan Belia dan Sukan, KKBS serta atlet-atlet jemputan.

    Negara Brunei Darussalam menjadi negara ke-30 bagi persinggahan Queen’s Baton Relay yang memulakan perjalanan dari Istana Buckingham, United Kingdom (UK) sebagai acara tradisional pembuka tirai Sukan Komanwel 2022 yang akan berlangsung pada 28 Julai sehingga 8 Ogos di Birminghan, UK. Ketibaan baton tersebut diraikan dalam acara The Queen’s Baton Relay Walk and Breakfast anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi British dengan Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani.
    Atlet-atlet kebangsaan negara bergambar ramai bersama Queen’s Baton semasa acara yang berakhir di Dermaga Diraja. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe berkata bahawa Komanwel merupakan sebuah institusi global yang unik di mana ia merupakan sebuah persatuan sukarela yang dianggotai oleh negara-negara yang berkongsi nilai-nilai dan aspirasi yang sama.

    Beliau menambah ia merupakan sebuah keluarga negara-negara yang tulen serta merupakan bahagian penting dalam kerjasamanya dengan Negara Brunei Darussalam.

    Queen’s Baton Relay itu, jelasnya lagi, merupakan salah satu acara pembuka tirai bagi Sukan Komanwel Birmingham yang akan diadakan di UK di mana ia akan menjadi pesta sukan yang paling besar, pelbagai dan mampan.

    Queen’s Baton telah memulakan perjalanannya pada 7 Oktober 2021 dan sedang bergerak ke seluruh benua dan Negara Brunei Darussalam merupakan negara ke-30 persinggahan bagi baton itu selepas Malaysia dan ia akan meneruskan perjalanannya ke Papua New Guinea.

    Pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah menyerahkan Queen’s Baton kepada Pengiran Mohammad Amirrizal bagi mewakili BDNOC.

    Dengan keadaan cuaca menjadi baik, acara Queen’s Baton Relay memulakan perjalanannya di Brunei dengan acara berjalan kaki di Taman Mahkota Jubli Emas di mana ia melalui beberapa buah mercu tanda ikonik Brunei termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Acara berjalan kaki Queen’s Baton Relay berakhir di Dermaga Diraja di mana tetamu khas dan baton berkenaan dibawa di atas perahu untuk melalui Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta mengelilingi Kampong Ayer sebagai menghargai warisan kebangsaan Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...