Queensland, Australia longgarkan sekatan di sempadan

SYDNEY, 15 NOV – Bermula Isnin beberapa sekatan sempadan di Queensland, Australia akan dilonggarkan selepas negeri itu mencapai 70 peratus liputan vaksin COVID-19, lebih awal daripada yang dirancang.

Mulai 5 petang, negeri itu akan membuka pintu kepada penduduk dan pengembara rentas negeri yang lengkap divaksin untuk pulang ke Queensland dari kawasan hotspot, dengan menggunakan pas sempadan baharu yang boleh dimohon menerusi laman sesawang kerajaan, lapor Xinhua.

Perdana Menteri Annastacia Palaszczuk berkata pengembara juga mesti menunjukkan ujian negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan bersama pas sempadan yang sah. Pelawat yang tiba dari kawasan hotspot yang ditetapkan Queensland perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Memandangkan tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan di Queensland dalam tempoh beberapa hari berturut-turut, Palaszczuk berkata negeri itu juga dijangka mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus lebih awal berbanding jangkaan. “Jika kadar itu berterusan, ia satu berita baik kerana tarikh pembukaan semula pada Disember dapat dipercepatkan,” kata Palaszczuk.

Apabila sasaran 80 peratus tercapai, lebih banyak sekatan ke atas perniagaan akan dilonggarkan. Banyak temat dan perniagaan boleh kembali beroperasi sepenuhnya. – Bernama