VALENCIA, Sepanyol, 6 Feb – Nairo Quintana (gambar) menghasilkan permulaan sempurna dalam musim sukar ketika penunggang Movistar itu menghindarkan kesukaran untuk memenangi Tour of Valencia semalam.
Bryan Coquard dari Perancis memenangi peringkat kelima yang dipendekkan dan 49.5km terakhir sekitar Valencia di depan pesaing Nacer Bouhanni dan Coen Vermeltfoort dari Belanda dengan masa catatan 1 jam 1minit 23saat.
Dalam keadaan angin kencang yang melabuhkan tirai itu, Quintana dari Colombia menamatkan perlumbaan di kalangan peloton untuk kekal dengan 13 saat di depan Ben Hermans dari Belgium bersama rakan sepasukannya BMC Racing, Manuel Senni di tempat ketiga ketinggalan 19 saat di belakang.
Selepas memenangi Vuleta a Espana pada tahun lepas, Quintana menyasarkan Giro d’Italia-Tour de France dan menunjukkan rentak menarik awal musim untuk memenangi peringkat keempat pada Sabtu lalu bagi mengungguli kedudukan.
“Tahun ini kami mempunyai beberapa objektif yang jelas iaitu Giro dan Tour. Kami tahu mendapatkan persediaan yang tepat adalah kuncinya,” Quintana memberitahu laman sesawang Movistar.
“Pada ketika ini kami merasakan, kami berada di laluan yang tepat untuk bermula di sana pada 100 peratus.”
Movistar mengalami permulaan sukar dalam uji masa berpasukan terbuka pada Rabu ketika mereka kehilangan lebih seminit kepada BMC.
Bagaimanapun, Quintana berada dalam kelas tersendiri bagi kategori pendakian yang panjang dan berangin untuk memenangi peringkat Sabtu lalu pada ulang tahunnya yang ke-27. – AFP