Qunut Nazilah

minda_logo indahnya Islam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

QUNUT dari segi syarak bermaksud zikir khusus yang mengandungi doa dan pujian. Qunut disyariatkan ketika sembahyang Subuh dan sembahyang Witir pada pertengahan akhir Ramadan. Demikian juga, qunut disyariatkan apabila orang Islam menghadapi musibah dan ia disebut sebagai qunut nazilah.

Hukum dan sebab membaca Qunut Nazilah

Qunut nazilah hanya disunatkan apabila kaum muslimin menghadapi musibah seperti diserang wabak, taun, kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan seumpamanya, agar musibah tersebut dilapangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika tidak ada sebab untuk membacanya iaitu tidak ada musibah, makruh hukumnya membaca qunut nazilah melainkan pada sembahyang Subuh. Ini bererti dalam sembahyang Subuh di samping membaca qunut Subuh, sunat juga membaca selepasnya qunut nazilah. Ini kerana sembahyang Subuh itu lebih mulia daripada sembahyang yang lain dan dikhususkan bagi Subuh itu azan sebelum waktunya serta disebut dalam azan Subuh tatswib (Assolaatu Khairun Minan Naum). Sembahyang Subuh itu juga lebih singkat berbanding dengan sembahyang fardhu yang lain. Oleh yang demikian adalah lebih layak untuk ditambah dengan qunut nazilah.

Membaca qunut nazilah ini bukan sahaja disunatkan ke atas orang yang ditimpa musibah, bahkan juga ia disunatkan ke atas orang yang tidak ditimpa musibah agar mendoakan orang yang ditimpa musibah itu.

Waktu Membaca Qunut Nazilah

Qunut nazilah sunat dibaca pada sembahyang lima waktu ketika i‘tidal di rakaat yang terakhir. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah membaca qunut selama sebulan berturut-turut pada waktu Zuhur, Asar, Maghrib, Isya dan Subuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membaca: Samia’llahu Liman Hamidah pada rakaat terakhir, Baginda berdoa (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas qabilah-qabilah daripada Bani Sulaim, Ri‘l, Dzakwan dan ‘Ushaiyah. Dan orang di belakang Baginda mengaminkan (doa Baginda).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ini bererti qunut nazilah itu dibaca pada rakaat terakhir ketika i‘tidal. Sebagai contoh sembahyang Zuhur, dibaca qunut nazilah itu pada rakaat keempat ketika i‘tidal. Sementara sembahyang Maghrib, ia dibaca pada rakaat ketiga dan sembahyang Subuh, ia dibaca pada rakaat kedua ketika i‘tidal.

Adapun dalam sembahyang jenazah, makruh hukumnya membaca qunut nazilah walaupun ada sebab untuk membacanya. Ini kerana sembahyang jenazah itu dikerjakan dengan ringan sahaja.

Sementara sembahyang disebabkan nazar atau sembahyang sunat, adalah tidak disunatkan membaca qunut nazilah. Namun jika dibaca juga kerana ada sebabnya (musibah) maka hukumnya tidak makruh. Lain halnya jika ia dibaca pada sembahyang tersebut dengan tanpa ada sebab, baharulah hukumnya makruh.

Lafaz dan cara membaca Qunut Nazilah

Lafaz qunut nazilah itu adalah mengikut kesesuaian musibah yang perlu dihindari. Sebagai contoh, jika kemarau telah melanda sesebuah negara Islam, maka dimuatkan isi kandungan doa qunut nazilah itu memohon agar diturunkan hujan. Contoh yang lain, sesebuah negara Islam telah diperangi oleh musuh, maka dimuatkan isi kandungan doa qunut nazilah itu memohon supaya kemenangan dikurniakan kepada orang Islam dan kekalahan ke atas musuh-musuh Islam.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah membaca qunut nazilah supaya sahabat-sahabat Baginda dibebaskan daripada tawanan orang kafir, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah membaca qunut pada sembahyang Isya selama sebulan. Baginda membaca dalam qunutnya: “Ya Allah, engkau selamatkan (bebaskan) al-Walid bin al-Walid. Ya Allah, engkau selamatkan Salamah bin Hisyam. Ya Allah, engkau selamatkan orang-orang yang lemah di kalangan orang mukmin. Ya Allah, engkau dahsyatkan hukumanMu ke atas (qabilah) Mudhar. Ya Allah, engkau jadikannya (hukumanMu) ke atas mereka bertahun-tahun seperti zaman Nabi Yusuf (tujuh tahun menghadapi kemarau).

Abu Hurairah berkata: “Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam tidak lagi mendoakan mereka. Lalu beliau menyebut perkara itu kepada Baginda. Baginda bersabda: “Tidakkah kamu nampak mereka telahpun sampai (bebas daripada tawanan orang kafir).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Cara membaca qunut ketika sembahyang Subuh, terlebih dahulu dimulai dengan doa qunut Subuh kemudian diikuti selepas itu doa qunut nazilah.

Qunut nazilah sunat dibaca dengan jahr iaitu suara yang nyaring walaupun dalam sembahyang seorang diri. Demikian juga, selain qunut nazilah itu sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang jahriyah (sembahyang yang dibaca dengan suara nyaring seperti Subuh, Maghrib dan Isya), ia juga sunat dibaca dengan jahr pada sembahyang sirriyah (sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan seperti Zuhur dan Asar).

Sunat bagi makmum mengaminkan qunut nazilah dan menadah kedua tapak tangan ke langit apabila memohon perkara yang diingini dan menterbalikkan kedua tapak tangan apabila memohon perkara yang dihindari. Sementara menyapu muka setelah membaca qunut nazilah adalah lebih elok tidak dilakukan memandangkan tidak ada warid daripada hadis.

Merujuk kepada imam besar

Sunat bagi imam masjid ratib (imam yang dilantik) merujuk perkara qunut nazilah ini kepada imam besar masjid-masjid utama atau penolongnya. Jika qunut nazilah itu diarahkan oleh imam besar atau penolongnya, maka wajib dibaca qunut nazilah itu.

Perlukah sujud sahwi apabila terlupa membaca Qunut Nazilah?

Jika terlupa membaca qunut nazilah, tidak disunatkan sujud sahwi. Ini kerana qunut nazilah itu bukan terdiri daripada sunat-sunat ab‘ad (iaitu perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan seperti qunut Subuh, tasyahhud awal dan sebagainya).

Sebagai seorang muslim adalah dituntut untuk tolong-menolong antara satu sama lain. Apatah lagi apabila saudara Islam kita menghadapi kesusahan atau musibah. Tidak kiralah bentuk pertolongan itu sama ada berupa harta benda, makanan, tenaga kita sendiri ataupun dengan berdoa.

Oleh itu, adalah wajar di samping kita menghulurkan bantuan atau derma khususnya kepada kaum muslimin yang menghadapi musibah supaya mendoakan mereka dengan qunut nazilah agar musibah itu dilapangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.