Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    R.Yugee pemilik suara di lapangan terbang luar negara

    Oleh Nabilah Saleh

     

    MENJALANI kehidupan jauh di perantauan, Yugee Ramasamy langsung tidak canggung berbahasa Melayu dalam perbualan hariannya, baik dengan keluarga mahupun di tempat kerja.

    Melanjutkan pelajaran dan seterusnya mencari rezeki di Prague, ibu kota Republik Czech sebagai pemain piano profesional selama lebih 7 tahun, beliau tidak pernah menyangka dengan kefasihannya berbahasa Melayu akan membuka rezekinya lagi di luar negara.

    Bekerja sebagai juruhebah bahasa Melayu dengan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan global Simpleway, Yugee sangat teruja dapat menyumbang kemahirannya dalam bahasa Melayu, yang berpangkalan di Prague.

    Berasal dari Ampang, Selangor, wanita berusia 30 tahun itu menceritakan kisahnya kepada Bernama baru-baru ini, serta berkongsi pengalamannya ketika melalui setiap proses rakaman suara.

    Terima tawaran lisan dari Simpleway

    “Tuan-tuan dan Puan-puan. Terima kasih kerana sudi menunggu. Anda kini diminta ke Gate B3 untuk menunggu pelepasan,” adalah antara pengumuman biasa yang paling banyak perlu dilakukannya semasa proses rakaman, jelas beliau. Pada awalnya beliau tidak menjangka menerima tawaran secara lisan daripada kakitangan Simpleway untuk menjalani ujian suara.

    Yugee Ramasamy, yang berasal dari Ampang, Selangor kini bekerja sebagai juruhebah bahasa Melayu di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan global Simpleway di Prague, ibu kota Republik Czech. – Bernama

    “Seseorang bernama Jakub menelefon dan bertanya jika saya berminat menyumbang suara untuk pengumuman dalam bahasa Melayu di lapangan terbang. Saya terus menjawab, ‘Sudah tentu!’ tetapi pertanyaan itu sebenarnya sesuatu yang tidak diduga. “Saya diminta memberi contoh rakaman suara, apabila diluluskan dari situ bermulalah segalanya. Saya sangat teruja untuk melakukannya. Saya rasa ia sesuatu yang baik,” katanya.

    Selepas beberapa siri percubaan, beliau akhirnya mendapat kontrak selama 5 tahun di bawah Simpleway. Proses rakaman dilakukan secara berperingkat-peringkat. “Pada mulanya, anda diminta membuat rakaman utama dengan membaca nombor penerbangan dan skrip tetap, kemudian ada kalanya anda dipanggil untuk mengemas kini rakaman. Bagaimanapun, ini boleh mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan jelas dan tepat,” jelas beliau.

    Bangga dengan bakat suara untuk bahasa Malaysia

    Yugee mengakui amat terkejut apabila mengetahui daripada Simpleway terdapat permintaan untuk pengumuman suara dalam bahasa Melayu di kebanyakan lapangan terbang di dunia. Beliau secara peribadi merasakan dirinya mempunyai bakat suara untuk bahasa itu, sekali gus ia mengangkat dirinya sebagai duta bahasa Melayu dan tanah airnya, Malaysia.

    “Dengan kelebihan bakat suara itu saya bagaikan duta untuk bahasa kita. Ini sesuatu yang hebat apabila dapat mempromosi bahasa kita sendiri. Sebenarnya, saya sangat bangga kerana dapat melakukannya.

    “Bahasa kita sangat kaya dan mempunyai sejarah yang begitu banyak. Menurut sejarah, negara kita adalah sebuah hab perdagangan yang sangat besar pada zaman dahulu dan bahasa Melayu digunakan oleh para pedagang. Ia banyak dipengaruhi oleh bahasa-bahasa seperti Sanskrit, Arab dan Portugis dan saya sangat bangga dapat menjadi penutur bahasa kita,” katanya sambil menambah ketika di Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa utamanya diikuti bahasa Inggeris dan Tamil. Setakat ini, suara Yugee juga digunakan untuk pengumuman di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand.

    Pengumuman yang menceriakan semua

    Sebagai platform penyedia maklumat penumpang bersepadu yang digunakan di pelbagai lapangan terbang, stesen kereta api, pelabuhan dan rangkaian pengangkutan awam yang terkenal di peringkat antarabangsa, Simpleway mempunyai satu matlamat – untuk menghubungkan terus semua saluran individu agar kesemuanya dapat bekerja serentak.

    Dengan menyediakan perkhidmatan pengumuman oleh penutur suara asli yang meliputi lebih 50 bahasa bagi memenuhi permintaan lapangan terbang di seluruh dunia, Simpleway secara tidak langsung mengangkat pengiktirafan bahasa-bahasa indah yang dituturkan oleh penduduk Asia Tenggara. Apa yang mengejutkan adalah, bukan hanya bahasa Melayu, malah bahasa lain juga digunakan oleh penyedia global ini termasuk Jawa, Thailand dan Vietnam.

    Kesemuanya bukanlah suara sembarangan. Beberapa juruhebah Simpleway menjadi selebriti dengan cara mereka yang tersendiri. Video YouTube yang menunjukkan seorang lelaki Indonesia tertawa mengekek apabila mendengar pengumuman agar penumpang menaiki kapal terbang oleh Widya Sykorova dalam bahasa Jawa di lapangan terbang Dubai menjadi tular.

    Ketua Pegawai Eksekutif Simpleway Petr Otoupal memberitahu Bernama dalam temu bual melalui e-mel mengenai pengumuman bahasa Jawa yang menjadi tular melalui platform media sosial di seluruh dunia adalah antara saat gembira bagi syarikat itu.

    “Kami sangat gembira melihatnya menjadi tular, lebih-lebih lagi kerana ia menggembirakan orang ramai. Kami bekerja keras untuk mengumpul bakat-bakat suara profesional dari seluruh dunia, dan ketika syarikat berusaha memberi pengalaman lebih baik kepada pelanggan di lapangan terbang dan pelbagai hab perjalanan, kami amat gembira apabila pengumuman dalam bahasa Jawa itu dapat menceriakan orang ramai. Malah semua yang berada di pejabat kami turut gembira,” tambah beliau.

    Bahasa Asia Tenggara ada tarikan sendiri

    Menggunakan pengumuman suara dalam pelbagai bahasa hanyalah bertujuan menarik perhatian para penumpang agar menaiki pesawat, kereta api atau kereta api bawah tanah (metro) dengan meminimumkan kekecohan atau gangguan. Dalam menguruskan perniagaan seumpama itu, Petr mengakui terdapat ‘keindahan’ tersendiri bagi setiap bahasa Asia Tenggara yang berbeza itu.

    “Bahagian pengumuman suara dalam perniagaan kami dikuasai oleh kalangan pencinta bahasa. Saya rasa anda boleh katakan mereka ini ‘gila’ bahasa, dan mereka sangat gemar mendengar kesemua bahasa. Ada keindahan dalam setiap bahasa. Saya boleh menghabiskan masa mendengar bahasa Melayu sepanjang hari – tetapi saya tidak tahu apa yang mereka katakan!”

    Bersetuju dengan kenyataan bahasa ibunda dengan mudah dapat menyatukan rakyat sesebuah negara apabila mereka bertemu atau berada di lapangan terbang, Petr berkata bahasa-bahasa Asia Tenggara menceriakan suasana dan memberikan kesan yang baik kepada sistem operasi Simpleway.

    “Bahasa, semestinya, dapat menyatukan manusia. Tetapi, perlulah memastikan ia memudahkan para penumpang untuk menuju ke destinasi masing-masing, dan pengumuman yang menggunakan bahasa ibunda pasti akan banyak membantu penumpang.

    “Bagi Simpleway, seperti yang saya katakan sebelum ini, kami memperoleh semangat sebenar dengan berurusan menggunakan pelbagai bahasa yang berbeza ini dan dengan menyampaikan pengumuman oleh suara yang terbaik di dunia.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda