Oleh Hajah Saemah Kepli
NANNING CHINA, 17 Sept – Sebuah syarikat Brunei, RAB Global Green (RAB) bersedia menembusi pasaran China dengan panel-panel solar berbentuk unik dan berwarna yang telah dipatenkannya setelah menandatangani perjanjian dengan Shenzen Huaya Regional Economic Development Service Centre (HUAYA) semasa Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-14 di sini, kelmarin.
Pengarah RAB, Awangku Dani Halim bin Pengiran Abu Bakar memberitahu, perjanjian itu membolehkan RAB untuk mengakses rangkaian pengedar, klien dan rakan kongsi HUAYA, yang mana akhirnya secara efektif akan membantu memasarkan produk-produk solar mereka yang mana pengeluarannya akan dimulakan segera setelah pembukaan kilang bernilai $17 juta mereka di Serasa pada akhir tahun ini.
“Perjanjian dengan HUAYA membolehkan kami menggunakan rangkaian meluas mereka dengan industri berteknologi tinggi di China dan seluruh dunia,” kata Awangku Dani, yang juga akan menyertai China Hi-Tech Fair pada tahun ini sebagai hasil perjanjian tersebut.
Menurut beliau, pembinaan kilang mereka berjalan lancar dan pengeluaran akan bermula pada penghujung tahun ini.
Awangku Dani menjelaskan, barisan produk RAB yang dirancang mempunyai dua kategori yang berbeza, produk isi rumah dan pejabat yang lebih kecil seperti lampu meja dan bingkai foto dan bahan binaan termasuk jubin, bumbung dan lembaran yang boleh menutup bangunan-bangunan.

Semua produk menggunakan sistem fotovolta (PV), dirujuk sebagai solar, yang menukar, menyimpan dan menyalurkan tenaga matahari menjadi elektrik yang boleh digunakan.
RAB mengimport panel solar borong, terutamanya dari China, yang kini mengalami lebihan dalam bekalan mengikut beberapa agensi berita utama, menyebabkan harga turun dan membuatkan teknologi berkenan mampu dimiliki semua orang.
Keunikan produk jualan RAB terletak pada penyesuaian panel yang diimport, yang mana menggunakan teknologi dipatenkan, syarikat berkenaan memotong, membentuk dan mencetak (dalam warna) sebarang rekaan, daripada teks kepada potret peribadi. Menandatangani bagi pihak HUAYA ialah setiausaha agungnya, Mason Zhang, dengan Timbalan Menteri Kewangan Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew Abdullah hadir menyaksikan perjanjian tersebut.