Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rabies: Kes gigitan haiwan meningkat

    KUCHING, 29 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) merekodkan 3,064 kes gigitan haiwan termasuk 35 kes terbaru di negeri ini ini sejak 1 April lepas.

    Daripada 35 kes gigitan yang dilaporkan hari ini, sebanyak 19 kes dilaporkan di Bahagian Serian, Sri Aman Kuching (8) dan Samarahan (2), kata JKNS dalam kenyataan di sini.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 31 kes melibatkan gigitan haiwan peliharaan iaitu anjing 18 kes, kucing 12 kes dan monyet satu kes manakala empat kes melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan iaitu anjing, kucing, tikus dan tupai masing-masing satu kes.

    JKNS juga menyatakan bahawa secara kumulatif, seramai 1,100 orang menerima suntikan vaksin anti-Rabies setakat ini.

    Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) melaporkan sebanyak 35,253 haiwan peliharaan terdiri daripada 27,377 anjing, 7,831 kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin setakat ini termasuk 91 anjing dan lapan kucing yang diberi suntikan pelalian penyakit Rabies di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Serian dan Sri Aman hari ini.

    Secara kumulatif, JPVS juga membuat persampelan terhadap haiwan peliharaan yang disyaki mendapat jangkitan Rabies dan setakat ini, sebanyak 221 sampel terdiri daripada 203 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Betong, Samarahan dan Serian telah dihantar untuk ujian virus Rabies di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh.

    Dalam pada itu, operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak bersama JPVS setakat ini menangkap 1,281 anjing terbiar di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak penyakit Rabies. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda