Rabies: KKM sahkan kes ke-19 di S’wak

KUCHING, 13 JUN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes baharu rabies membabitkan seorang wanita dari Pending di sini yang telah meninggal dunia semalam, menjadikan 19 kes di Sarawak setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berusia 61 tahun itu disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

“Dukacita dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 12 Jun, 2019 jam 10:47 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata wanita berkenaan mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanan pada 29 April lepas semasa cuba menghalau anjing tersebut. – Bernama