Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Rabun sejak lahir tidak halang Niki raih keputusan cemerlang STPM

    PASIR MAS – Meskipun rabun sejak lahir, Niki Amirul Zimi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuknya meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

    Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata beliau tidak menyangka akan memperoleh keputusan dengan nilai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 membabitkan lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi dan Geografi.

    Niki berkata sepanjang tempoh pembelajaran beliau terpaksa mengulang kaji bahan bacaan dalam jarak yang dekat akibat masalah rabun yang dihadapinya itu. 

    “Memandangkan saya mengalami masalah rabun sejak lahir, ia telah menjejaskan penglihatan saya terutamanya ketika membaca selain untuk memberi fokus ketika dalam kelas.

    “Satu-satunya kaedah yang saya gunakan adalah membaca dengan jarak dekat,” katanya kepada pemberita di sekolah berkenaan.

    Dua pelajar cemerlang STPM SMK Tengku Panglima Raja, Nur Yasmin Hani Kasman (kiri) bersama Niki Amirul Zimi (kanan) bersama rakan-rakan dan guru-guru meraikan kejayaan mereka. – Bernama

    Bercerita lanjut, Niki yang juga menghidap penyakit Albino berkata beliau tidak mempunyai jadual tetap untuk menelaah pelajaran dan hanya mengikut kemampuan diri.

    “Kebiasaannya saya hanya ulang kaji pelajaran sekitar tiga jam sehari, sekiranya kepenatan saya tidak akan memaksa diri kerana ia akan mendatangkan tekanan kepada saya termasuk fokus penglihatan juga mungkin terjejas.

    “Saya rasa syukur kerana guru, rakan dan ibu Suemoh Dollah, 46 serta bapa Zimi Mamat, 60 tidak pernah berputus asa memberi semangat dan dorongan kepada saya sehingga saya berjaya meraih kejayaan pada hari ini,” katanya yang bercita-cita menjadi gu-ru.

    Niki berkata keputusan cemerlang itu juga membuktikan bahawa kekurangan dirinya bukanlah penghalang untuk beliau mencapai kejayaan.

    “Saya ingin berpesan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti saya untuk sentiasa berfikiran positif walaupun ditakdirkan mempunyai kekurangan daripada orang lain kerana setiap insan itu mampu berjaya sekiranya ada usaha,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...