Race to Zero dilancarkan sempena hari alam sekitar sedunia

Oleh Salawati haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Ketika berusaha pulih daripada wabak COVID-19, penduduk dunia mempunyai kesempatan untuk melindungi dan memulihkan alam sekitar, mengurangkan pendedahan kepada impak-impak virus dan iklim yang membawa maut.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dalam perutusannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut setiap 5 Jun, menyatakan bahawa kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan Brunei telah menjadi pemacu bagi perubahan dengan menunjukkan komitmen kepada alam sekitar seperti pelancaran Kempen Hari Tanpa Plastik pada 2011.

Menurutnya, beliau kagum apabila menjelang 2019, semua kedai yang ikut serta di seluruh negara berjaya menghentikan penggunaan beg plastik setiap hari.

Di Suruhanjaya Tinggi British pula, mereka juga cuba memainkan peranan dalam menangani impak membinasakan yang dibawakan oleh aktiviti manusia ke atas alam sekitar.

Terkini, pada November 2019, beliau telah berlari di sepanjang pantai Brunei, sejauh 130km dari Kuala Belait ke Muara untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman pencemaran plastik dan perubahan iklim ke atas pantai.

TYT Richard Lindsay dalam perutusannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, menyatakan bahawa kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan Brunei telah menjadi pemacu bagi perubahan dengan menunjukkan komitmen kepada alam sekitar.

Menurutnya, beliau mendapat sokongan dan penyertaan yang di luar jangkaan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan British Forces Brunei yang mana mereka berjaya mengumpul hampir $16,000 hasil sumbangan orang ramai yang bermurah hati untuk memberi sokongan kepada Plastic Oceans United Kingdom (UK) dan SMARTER Brunei.

Bagi meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia, Tuan Yang Terutama berkata, pejuang iklim UK, Nigel Topping dan pejuang iklim Chile, Gonzalo Munoz telah melancarkan Race to Zero yang merupakan kempen global untuk menggerakkan kepemimpinan dan sokongan daripada perniagaan-perniagaan, bandar, wilayah dan pelabur ke arah mencapai sifar pengeluaran karbon menjelang 2050.

“Pemulihan sifar karbon, sihat dan berdaya tahan seperti ini akan mewujudkan pekerjaan, membuka peluang keterangkuman, pertumbuhan berterusan dan mengurangkan risiko kejutan masa depan,” ujarnya.

Dalam perutusannya itu, beliau turut menekankan bahawa bagi menunjukkan kepimpinan dalam pendekatan global bagi menangani perubahan iklim, UK telah mengumumkan bahawa Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP26) yang dijadualkan pada tahun ini, akan diadakan pada November 2021.

Katanya, tatkala membuat persiapan bagi COP26 di Glasgow, dunia akan mula membangunkan semula ekonomi daripada wabak COVID-19.

“Kami berharap untuk memfokuskannya ke atas menyokong pemulihan yang bersih, keterangkuman dan kukuh berdasarkan prinsip Perjanjian Paris dan matlamat pembangunan mapan PBB.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa untuk memastikan bahawa cabaran-cabaran bersama dalam kesihatan awam, perubahan iklim dan biodiversiti dapat ditangani,” tambahnya.