Radiasi ’16 kali ganda’ di tapak letupan

MOSCOW, 13 OGOS – Tahap radiasi telah meningkat kepada 16 kali ganda daripada normanya di sebuah bandar berhampiran selepas letupan berlaku di tapak ujian peluru berpandu Rusia, kata perkhidmatan kaji cuaca negara hari ini.

Letupan di kemudahan Artik pada Khamis membunuh lima saintis di agensi nuklear Rusia, yang kemudian mengesahkan mereka terlibat dalam ujian senjata baharu. Banyak mangsa telah dimasukkan ke hospital.

Rosgidromet, khidmat pemantau kaji cuaca, berkata sensornya di Severodvinsk, sebuah bandar kira-kira 30km dari tapak ujian Nyonoksa, mencatatkan radiasi gama melebihi paras sekitar ‘empat hingga 16 kali ganda’.

Rosgidromet berkata parasnya lebih tinggi di enam daripada lapan buah stesennya di Severodvinsk yang kemudian kembali normal selepas 2.5 jam.

Sementara itu menurut agensi berita AP, ribuan orang kelmarin telah menghadiri pengebumian lima saintis berkenaan yang terbunuh dalam letupan ketika mereka menguji enjin roket baharu, satu tragedi yang mencetuskan kebimbangan radiasi dan membangkitkan persoalan tentang program senjata rahsia.

Saintis-saintis yang maut pada Khamis telah selamat dikebumikan kelmarin di Sarov, yang menempatkan pusat penyelidikan senjata nuklear utama Rusia. Bendera dikibarkan setengah tiang di bandar 370km timur Moscow yang menjadi pangkalan bagi program senjata nuklear Rusia sejak lewat 1940an. Keranda telah dibawa ke medan utama Sarov sebelum diiringi ke tempat perkuburan.

Kementerian Pertahanan pada awalnya melaporkan letupan di banjaran pengujian tentera laut dekat kampung Nyonoksa di barat utara rantau Arkhangelsk telah membunuh dua orang dan mencederakan enam yang lain.

Syarikat nuklear Rosatom yang dikawal kerajaan kemudian berkata pada hujung minggu yang letupan itu juga membunuh lima daripada pekerjanya dan mencederakan tiga yang lain. Masih belum jelas jumlah sebenar.

Syarikat itu berkata mangsa-mangsa itu berada di platform laut menguji enjin roket dan terpelanting ke laut akibat letupan itu. Jurucakap Putin, Dmitry Peskov hari ini tidak mengesahkan kemalangan itu berkaitan dengan projek Burevestnik. – AFP/AP

Gambar yang diambil pada 9 November 2011 menunjukkan bangunan di pangkalan tentera di bandar kecil Nyonoska di rantau Arkhangelsk, tempat lima saintis dikatakan maut ketika menguji senjata baharu. – AFP