Radio amatur erat hubungan sahabat berbilang bangsa

MELAKA – Hanya dengan satu panggilan menerusi komuniti pengendali radio amatur, siapa sangka ia menjadi asbab kepada titik-tolak jalinan persahabatan antara dua rakan berbilang bangsa yang terus kekal bersahabat baik sehingga ke hari ini.

Semuanya bermula kira-kira 10 tahun lalu, apabila Mansur Abdul Muien, 42, membuat panggilan menerusi peranti ‘pengulang’ atau repeater untuk mencari pengendali lesen kelas A radio amatur bagi menandatangani satu dokumen pengesahan berkaitan pelesanan alat komunikasi berkenaan.

Namun, pemuda yang menetap di Taman Tasik Utama, Melaka Tengah itu tidak menyangka panggilannya disambut Chong Wee Long, 48, yang kemudiannya membantu memberikan maklumat individu yang boleh menyelesaikan perkara itu.

“Selepas perkenalan melalui jalur pengulang, saya kemudiannya berjumpa dengan Chong yang tinggal di Taman Bukit Cheng, tidak jauh dari tempat tinggal saya  dan kami terus berkawan sehingga kini.

“Walaupun jarang-jarang bertemu ketika pandemik COVID-19 melanda, namun hubungan silaturahim tetap terjalin menerusi radio amatur,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Jalur pengulang di dalam radio amatur merupakan perhubungan melalui sejenis peranti yang menerima (RX) dan menghantar (TX) kembali di dalam alat komunikasi.

Pengendali Radio Amatur Mansur Abdul Muien (depan) dan Chong Wee Long ketika melakukan penyelenggaraan terhadap peralatan radio ketika ditemui Bernama di Taman Tasik Utama. – Bernama

Mansur yang berasal dari Kampung Sungai Bedaun, Labuan, Sabah dan menetap di Melaka sejak 2005 berkata radio amatur nyata memupuk semangat muhibah antara kaum apabila pengendali perlu mematuhi tiga syarat utama iaitu tidak bercakap mengenai politik, tidak memasarkan sebarang bentuk perniagaan dan tidak rasis.

Jurujual itu turut mengakui bahawa hubungan antara kaum dalam kalangan pengendali radio amatur sangat unik, kerana perkenalan hanya dilakukan menerusi komunikasi menggunakan jaluran radio semata-mata.

“Pengendali juga harus mengelak daripada bercakap mengenai berita-berita palsu dan perlu mengesahkan sesuatu berita sebelum menghantarnya kepada pengendali lain, sekali gus amat membantu usaha mengekang berita tidak benar daripada sampai kepada masyarakat.

“Malah, pengendali radio amatur juga boleh berhubung dengan rakan-rakan lain yang berada di luar negara, bertanya khabar rakan-rakan di sana. Apabila bercakap, kita sebenarnya jadi duta kepada Malaysia kerana orang di seluruh dunia dapat dengar dan pantau,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai minatnya mengendalikan radio amatur, Mansur berkata ia bermula selepas menjadi mangsa tsunami pada 2004 ketika bertugas di sebuah resort di Langkawi, Kedah. Ketika kejadian itu, komunikasi melalui telefon terganggu menyebabkan pasukan penyelamat banyak berkomunikasi menggunakan ‘walkie-talkie’. – Bernama