Radio antiEbola ditutup

GOMA, DR CONGO, 11 NOV – Sebuah stesen radio tempatan yang terbabit dalam kempen memerangi Ebola di timur DR Congo berkata hari ini ia akan ditutup selepas salah seorang juruhebahnya dibunuh.

Joel Musavuli, ketua radio Lwemba di Mambasa di wilayah Ituri, memberitahu AFP stesen itu telah disasarkan oleh kumpulan bersenjata yang menentang kempen untuk membasmi wabak Ebola.

“Setiap kami menerima ugutan sejak bulan lalu. Kami telah memutuskan untuk menghentikan siaran, kata Musavuli, menambah beliau sendiri telah terlepas dua percubaan menculik.

“Kami adalah mangsa komitmen kami terhadap kempen kesedaran mengenai penyebaran penyakit virus Ebola. Kami tidak tahu kenapa anggota militia menyasarkan kami.”

Hampir 2,200 orang telah terbunuh sejak penyakit perdarahan itu meletus di timur Republik Demokratik Congo pada Ogos 2018, menurut angka terbaharu.

Kempen memerangi wabak itu telah dihambat oleh rasa takut dan kepercayaan karut penduduk tempatan, dieksploitasi oleh kumpulan militia yang menjajah di rantau terpencil itu. Beberapa pekerja kesihatan telah terbunuh dan media yang menyokong kempen itu telah menerima ugutan. Beberapa stesen radio di kawasan Mambasa berkata mereka berhenti menyiar mesej antiEbola disebabkan ugutan. – AFP