Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Radio antik imbau kenangan lama

    Gambar Xinhua

    BAGHDAD – Fuad Hashim, seorang tukang baik pulih radio antik, menyedari bahawa profesinya semakin pupus akibat perkembangan zaman yang menjurus ke arah teknologi moden.

    Namun pada usia 65 tahun beliau berkata tidak akan berhenti kerana beliau benar-benar mencintai profesinya.

    Hashim melakukan kerjanya di lorong lama di Souq al-Mdallal, atau pasar al-Mdallal, di pusat bandar Baghdad, ibu negara Iraq. Berjalan di kedai beliau di tengah-tengah puluhan radio antik dari tahun 1920 hingga 1960 terasa seperti menyaksikan sejarah radio. Koleksi tersebut adalah daripada jenama yang berbeza seperti Siera, Philips, Zenith, Philco dan lain-lain.

    “Saya telah berada dalam pekerjaan ini selama 30 tahun. Pada awalnya, ia hanyalah hobi, kemudian ia menjadi pekerjaan buat saya,” kata Hashim kepada Xinhua.

    “Saya sedar bahawa seluruh dunia telah berubah, tetapi saya suka pekerjaan ini dan merasakan kepuasan dan keselesaan apabila menggunakan radio antik,” katanya semasa menggunakan radio di Philips keluaran tahun 1958.

    Secara amnya, harga set radio antik berkisar antara AS$300 hingga AS$1,500, bergantung kepada keadaan, ciri-ciri dan reka bentuknya, dan beberapa perkara yang lain yang boleh meningkatkan nilainya seiring dengan masa.

    Para pelanggan kedai Hashim kebanyakannya adalah peminat radio antik, seperti artis dan intelektual, serta pengumpul barang antik.

    “Saya fikir set radio antik ini, bagi ramai orang, adalah bunyi nostalgia kerana pada masa lalu radia mengumpulkan ahli keluarga di rumah,” jelas Hashim.

    Anas Dara, salah seorang penduduk di wilayah Salahuddin di utara Baghdad, memberitahu Xinhua bahawa beliau telah menemui seseorang seperti Hashim yang boleh membaiki set radio antik keluarganya kerana bahagian alat ganti bagi peranti ini tidak mudah ditemui pada masa ini.

    Dara berkata bapanya dan datuknya sangat menghargai radio lama kerana pernah mendengar berita, lagu dan program dengan peranti itu.

    “Ketika saya membawanya pulang, ahli keluarga saya teruja untuk menggunakannya dan kami semua sangat bangga dengannya sebagai pusaka keluarga,” kata Dara. – Xinhua

    Fuad Hashim, pemilik kedai pembaikan radio, bekerja di radio antik di bengkelnya di tengah Baghdad, Iraq.
    Radio-radio lama di bengkel Fuad Hashim di Baghdad, Iraq, pada 29 Julai 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...