Raducanu ‘dahagakan’ perbaiki permainan

LONDON, 15 SEPT – Juara Terbuka AS, Emma Raducanu berkata bahawa dia ‘dahagakan’ untuk memperbaiki permainannya dan merancang untuk terus bersaing pada tahun ini selepas kejayaan di Flushing Meadows.

Pemain kelahiran Britain berusia 18 tahun ini menjadi pemain kelayakan pertama dalam sejarah untuk menjulang Grand Slam apabila dia menewaskan pemain remaja Kanada berusia 19 tahun, Leylah Fernandez, 6-4, 6-3 di Stadium Arthur Ashe pada hujung minggu lalu.

Raducanu menjadi pemain Britain pertama menjuarai Grand Slam dalam kategori perseorangan wanita sejak Virginia Wade melakukannya pada 1977 dan tidak tewas sebarang set semasa perlawanan memburu kejuaraan di New York.

Pemain ranking 23 dunia itu menyertai kejohanan Wimbledon pada awal tahun ini, mara ke pusingan keempat dalam Grand Slam sulungnya, dan dia berhasrat untuk mengambil rehat selama dua bulan.

“Saya masih ada beberapa hari untuk rehat dan menjalani pemulihan, saya rasakan ia adalah perlu selepas tujuh minggu kebelakangan,” dia memberitahu penyiaran CNBC, semalam.

“Namun saya akan kembali menjalani latihan dan dahagakan untuk memperbaiki permainan dan kembali menyertai lebih banyak kejohanan.”

Raducanu mungkin menerima wildcard di kejohanan berprestij Indian Wells Jelajah WTA di California bulan hadapan.

Kejayaan yang mengejutkan ramai di New York telah menarik perhatian.

Dia menerima pujian daripada Ratu Elizabeth II, Perdana Menteri UK, Boris Johnson dan membuat penampilan di pertunjukan fesyen Met Gala di New York minggu ini. – AFP

Reaksi Emma Raducanu memeluk piala selepas menjuarai Terbuka AS setelah menewaskan lawannya Leylah Fernandez, 6-4, 6-3 pada minggu lalu. – AP