Rafidah reda keguguran

Selepas kira-kira 10 minggu hamil, pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim, 35, reda kandungan pertamanya keguguran, kira-kira dua minggu lalu.

Menceritakan detik itu, Rafidah berkata dia mengalami pendarahan ketika kandungan berusia 10 minggu.

“Saya sudah membuat pemeriksaan dan melakukan pembersihan rahim. Doktor berikan suntikan untuk mencairkan darah dan hari ini (semalam), genap dua minggu saya berpantang.

“Mungkin antara faktor keguguran adalah tekanan kerja dan kurang rehat. Kata orang, pada awal kehamilan, kita kena banyak berehat dan tidak boleh buat kerja berat.

“Apatah lagi, pada masa sama, satu demi satu perkara menimpa saya. Jadi, mungkin saya tertekan,” katanya.

Rafidah mengaku satu persatu dugaan datang hingga menyebabkan dirinya tertekan lalu keguguran. – Agensi

Berkongsi lanjut, Rafidah berkata, sejak akhir-akhir ini, dia diuji banyak perkara termasuk membabitkan prosiding mahkamah.

“Baru-baru ini pula, saya dapat surat saman berkaitan isu gangguan seksual yang disuarakan di Instagram (IG), tempoh hari.

“Walaupun saya berbicara secara am, ada pihak terasa. Saya tak mahu kongsi lanjut mengenai perkara itu kerana sedang menguruskannya.

“Jadi, disebabkan itu, kebelakangan ini, saya agak tertekan. Satu demi satu datang. Tetapi tidak mengapa, saya ambil perkara ini sebagai pengalaman dan pengajaran,” katanya.

Rafidah percaya setiap perkara berlaku ada hikmahnya. “Alhamdulillah, suami beri galakan. Dia cakap tidak mengapa kerana ini adalah salah satu perjuangan (melaungkan isu gangguan seksual). Dia pun menyokong saya dalam hal ini.

“Gangguan seksual bukan perkara remeh, lama-kelamaan risau ia menjadi kebiasaan. Kalau saya tak mula dan perjuangkan, takut benda ini akan membuatkan semua wanita tertekan.

“Jadi, biarpun saya kena hadapi banyak ujian mendatang disebabkan perjuangan ini, saya okay jika apa yang dibuat, beri impak positif kepada mangsa gangguan seksual.” – Agensi