Rafinha sarung jersi Flamengo

BERLIN, 11 JUN – Pemain pertahanan Bayern Munich, Rafinha, meninggalkan kelab gergasi Jerman itu untuk kembali ke tanah air bagi menyertai kelab Brazil, Flamengo, menurut kenyataan rasmi juara Bundesliga itu.

Pemain berusia 33 tahun itu mengucapkan selamat tinggal kepada Bayern bulan lepas setelah lapan tahun di kelab itu, dan kontraknya secara rasminya mansuh pada 30 Jun ini.

Semalam, kedua-dua Flamengo dan Bayern mengesahkan bahawa bek pertahanan itu telah menandatangani satu perjanjian dua tahun bersama juara Brazil sebanyak lima kali itu, menamatkan kerjaya bola sepak Eropah selama 14 tahun.

Rafinha menyertai Bayern dari Genoa pada tahun 2011, di mana sebelum itu meluangkan masa lima tahun di Bundesliga bersama Schalke.

Dengan 266 penampilan dan 18 gelaran sepanjang lapan tahunnya di Bayern, dia memainkan peranan dalam satu dekad paling berjaya dalam sejarah kelab itu.

Meskipun tidak pernah menjadi pemain tetap dalam kesebelasan utama, pemain Brazil itu sangat terkenal dalam bilik persalinan dan telah diberikan ucapan selamat tinggal yang penuh emosi bersama Arjen Robben dan Franck Ribery pada Mei. – AFP

Rafinha (kiri) dan Robben (kanan) semasa acara bagi mengucapkan selamat tinggal kepada mereka oleh Bayern Munich pada 18 Mei 2019. – AFP