KUALA LUMPUR, 29 Jan – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) didenda AS$10,000 kerana tidak menyertai Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Bawah-19 (B-19) 2018 di Bangkok, Thailand, pertengahan Disember lalu.
Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya telah membuat rayuan kedua kepada Kesatuan Ragbi Asia (Ragbi Asia) baru-baru ini, selepas badan induk itu mengurangkan denda tersebut kepada AS$9,000 selepas rayuan pertama pada akhir Disember lepas.
Beliau berkata KRM tidak dapat menghantar pasukan remaja Malaysia menyertai kejohanan tersebut dengan anggaran kos RM80,000 kerana menghadapi masalah kewangan pada suku terakhir 2018 dan lewat mendapat kelulusan penajaan daripada sebuah syarikat korporat.
“Kita menghadapi masalah kewangan kerana tuntutan kita kepada pihak MSN (Majlis Sukan Negara ) tidak dapat dijelaskan sepertimana sepatutnya. Kita faham mereka juga hadapi masalah kewangan dan kita hargai jasa mereka selama ini.
“Selain itu, permohonan dana daripada sebuah syarikat korporat juga baru mendapat kelulusan selepas kita maklumkan kepada Ragbi Asia bahawa tidak menyertainya.
“Kita hubungi kembali Ragbi Asia untuk menyatakan kesediaan menyertainya dengan melakukan langkah penjimatan seperti menaiki bas ke Bangkok.” – Bernama

































