KUALA LUMPUR, 30 Julai – Rahim & Co International Bhd, perunding pelaburan hartanah antarabangsa, merancang untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran luar negara dengan menembusi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik.
Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata firma itu kini meninjau Vietnam, Kemboja, China dan Hong Kong sebagai destinasi pelaburan seterusnya memandangkan penduduknya yang ramai dan permintaan yang tinggi terhadap hartanah.
“Sudah tentu, untuk ke luar negara bukanlah murah. Bagi membuka pejabat di Vietnam kami mungkin perlu membelanjakan kira-kira RM500,000, manakala untuk berkembang ke Hong Kong dan Singapura, kami mungkin memerlukan kira-kira AS$1 juta setiap satu.
“Semua ini perlu dipertimbangkan. Kalau boleh, kami ingin mencari rakan kongsi (di negara-negara berkenaan), ” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Abdul Rahim berkata Rahim & Co merancang untuk membuka sekurang-kurangnya dua atau tiga cawangan baru di luar negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa syarikat itu akan berjaya di negara-negara tersebut kerana rekod prestasinya yang baik di pasaran tempatan dan luar negara.
“Bagi saya, secara lojiknya, jika kami berjaya di sini, kenapa tidak boleh mencapai kejayaan yang sama di pasaran antarabangsa. Kami mempunyai syarikat dengan struktur yang sangat baik, kami sangat profesional dalam kerja kami, dan kami tidak melihat mengapa kami tidak boleh berjaya dengan pasaran yang lebih besar (antarabangsa). – Bernama