Rahm mampu atasi McIlroy untuk nombor satu dunia

WASHINGTON, 10 JULAI – Jon Rahm yang berada di kedudukan kedua dapat mengatasi Rory McIlroy dan menjadi pemain nombor satu dunia untuk pertama kalinya jika menang di Terbuka PGA Workday AS minggu ini.

Pemain Sepanyol berusia 25 tahun itu beraksi pada Khamis lalu bersama juara Terbuka AS, Gary Woodland dan pemain Norway, Viktor Hovland di Muirfield Village pada pusingan pembukaan.

Juara utama empat kali McIlroy dari Ireland Utara telah menduduki tempat teratas sejak Februari lalu, sejurus sebelum sukan mula ditutup selama tiga bulan kerana wabak COVID-19.

Tetapi dengan McIlroy tidak akan beraksi pada minggu ini menjelang kejohanan Memorial minggu depan, Rahm berpeluang menempah tempat teratas dengan kemenangan dalam acara baharu ini, bertujuan merapatkan jurang selepas John Deere Classic ditangguhkan kerana COVID-19.

Satu-satunya pemain Sepanyol yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia ialah Seve Ballesteros selama 61 minggu, dan diambil alih oleh Greg Norman Australia dari 1986-1989.

Aksi Jon Rahm ketika melakukan pukulan dalam pusingan akhir Kejuaraan Travellers di TPC River Highlands pada 28 Jun di Cromwell, Connecticut. Jon Rahm yang berada di kedudukan kedua dapat mengatasi Rory McIlroy dan menjadi pemain nombor satu dunia untuk pertama kalinya dengan kemenangan di PGA Workday Charity Open AS minggu ini. – AFP

Rahm mengakui bersedia untuk memperjuangkan setiap pukulan untuk terus konsisten sehingga mencapai ke puncak.

“Saya berjuang di padang golf pada setiap pukulan yang saya lakukan setiap hari,” kata Rahm.

“Tidak pernah berputus asa, walaupun saya memulakan dari tangga ke-30 di pusingan akhir dan saya tidak berpeluang untuk menang, saya masih mahu menamatkan yang terbaik.

Kejohanan Workday akan menjadi acara kelima berturut-turut yang dimainkan tanpa penonton, yang akan kembali ke PGA dan dihoskan oleh Jack Nicklaus minggu depan.

Rahm mencatat musim yang terbaik pada 2019-20, memenangi Terbuka Sepanyol Oktober lalu dan kejuaraan Jelajah Dunia di Dubai pada bulan November, memenangi anugerah Race to Dubai dan Pemain Jelajah Eropah Terbaik. – AFP