Rahm, McIlroy berhempas pulas di Terbuka AS

BROOKLINE, AMERIKA SYARIKAT, 19 JUN – Juara bertahan, Jon Rahm, pemenang kejohanan Masters, Scottie Scheffler dan pemenang kejohanan utama empat kali, Rory McIlroy – tiga pemain ranking tiga teratas dunia – terpaksa berusaha bersungguh-sungguh kelmarin untuk terus kekal bersaing di Terbuka AS.

Pemain nombor dua dunia, Rahm, membuat tiga pukulan birdie pada lima lubang terakhir namun bola menuju bunker pada tiga pukulan pertama di lubang ke-18 untuk mencatatkan double bogey dan berada di kedudukan tiga bawah 207, satu pukulan di belakang pendahulu bersama, Will Zalatoris dari Amerika Syarikat (AS) dan pemain England, Matt Fitzpatrick selepas bermain 54 libang di The Country Club.

“Saya sangat berpuas hati. Saya bermain 18 lubang dan hanya ketinggalan satu pukulan. Itu yang penting bagi saya,” kata Rahm.

Sementara itu pemain ranking ke tiga dunia, McIlroy melakukan tiga pukulan bogey dan terlepas satu pukulan birdie jarak dekat di enam lubang pertama, meraih 73 untuk berada di 209, ketinggalan tiga pukulan namun masih dalam jangkauan.

Manakala pemain teratas dunia, Scheffler, mengejar kejuaraan dan kejohanan kedua terbesar tahun ini, berada di kemuncak untuk cabaran dari segi mental dan fizikal pada pusingan terakhir hari ini.

“Terbuka AS sangat mencabar, dari segi mental dan fizikal. Saya merasakan semua ini yang membuatkan kejohanan ini menyeronokkan,” katanya.

“Ia akan menguji awda dalam pelbagai cara, sama ada fizikal, mental dan apa-apa sahaja. Saya rasa itu yang membuatkannya seronok.

“Jika semua kejohanan golf diadakan seperti ini, ia akan menjadi musim yang sangat panjang bagi semua pemain. Jika ia dibuat beberapa kali dalam setahun pasti akan menyeronokkan.” – AFP