Rahmad Mega berputih mata

Belum pun merasai keuntungan, penyanyi, Rahmad Mega (gambar bawah) terpaksa berputih mata apabila tapak perniagaan The Stage By Rahmad Mega yang diusahakan sejak lima bulan lalu gulung tikar.

Penyanyi lagu Bayangan Gurauan itu memuat naik gambar tapak medan seleranya itu di laman Facebook (FB), sekali gus meluahkan isi hatinya.

“Memang senang melihat orang berjaya. Namun, ketika susahnya tak pernah dikongsi. Bangkit dari kegagalan, itulah erti kejayaan. Redha bahawa rezeki Allah untuk saya bukan di The Stage,” tulisnya dalam entri FB.

Rahmad menegaskan, tindakannya memuat naik gambar bukan mahu menarik perhatian atau menagih simpati.

Bekas vokalis kumpulan Mega itu berkata, dia memuat gambar sebagai kenangan untuknya yang terpaksa membuat keputusan menutup tapak perniagaan yang diusahakan sejak Januari 2019 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ada yang anggap saya sengaja mahu membesar-besarkan kerugian, tetapi mereka tak tahu saya mahu menjadikan gambar itu sebagai kenangan sahaja.

“Jujurnya, saya sedih apabila The Stage terpaksa ditutup. Apabila lalu di kawasan ini, lebih lagi melihat pekerja sedang mengemas barang, bergenang air mata. Bukannya sedikit duit digunakan membangunkan tapak medan selera ini.

“Mungkin mereka yang melemparkan tanggapan terhadap saya pernah merasai keuntungan hasil perniagaan. Saya pula sebaliknya belum merasainya kerana baru sempat beroperasi lebih kurang lima bulan. Lain kekecewaan apabila perniagaan perlu ditutup disebabkan situasi COVID-19 ini,” katanya ketika dihubungi media.

Walau bagaimanapun, Rahmad enggan mendedahkan nilai kerugian kerana gusar perkongsiannya akan disalah erti.

“Cukuplah dikatakan saya rugi besar. Sepanjang PKP saya perlu membayar sewa penuh kerana pemilik tanah tidak mahu mengurangkan harga. Jika tidak, dia mahu tolak deposit. Walaupun penyewa tak berniaga, saya tetap kena bayar sewa.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk tutup kerana tidak mahu terus menanggung kerugian. Memang ketika PKPB, kita sudah boleh berniaga, tetapi suasana berbeza.

“Bayangkan, saya mempunyai 300 meja, tetapi disebabkan penjarakan sosial, satu meja boleh diduduki dua pelanggan.

“Jadi, hanya 50 pelanggan dalam satu masa. Macam mana jumlah berkenaan nak menanggung bayaran sewa?,” katanya. – Agensi