Rahmat Hari Raya Aidilfitri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dayangku Nur Fasha Alya Batrisya binti Pengiran Samsul Rezal Malek Faesal telah terpilih antara 9,850 orang pelanggan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Sungkai Bufet Rizqun Coffee House dan membawa pulang hadiah berupa tiket penerbangan ibadah umrah untuk dua orang.

Dayangku Nur Fasha yang tidak menyangka akan memenangi hadiah tiket umrah berkenaan ketika ditemui berkata, tiket berkenaan akan dihadiahkan kepada ayah dan abangnya untuk mengerjakan ibadah umrah.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rizqun Coffee House atas peluang yang diberikan dan ini merupakan antara salah satu rahmat di Hari Raya Aidilfitri,” kata Dayangku Nur Fasha.

Hadir menyampaikan hadiah tiket umrah berkenaan ialah Pengurus Operasi, Rizqun Coffee House, Dayang Rashidah binti Hassan.

Dalam pada itu, daripada 9,850 orang peserta, hanya 12 orang telah memenangi hadiah mingguan sumbangan Rizqun Coffee House berupa baucar penginapan dan makan.

Hadiah tiket penerbangan umrah merupakan hadiah utama cabutan bertuah Sungkai Bufet yang diperkenalkan sejak 2008 mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Dayangku Nur Fasha Alya Batrisya ketika menerima hadiah utama cabutan bertuah Bufet Sungkai Rizqun Coffee House, kelmarin.