Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia di sebalik pohon kayu

    Oleh Bulan Ungin – 

    Kedengaran suara lolongan anjing dari jauh menegakkan bulu roma Husin yang sedang duduk di tangga rumahnya. Tiba-tiba Husin ternampak seorang gadis berpakaian serba putih memandang tepat ke arahnya. Husin jadi takut kerana gadis itu secara tiba-tiba muncul di hadapannya.

    Rambut gadis itu panjang mengurai hingga ke paras kaki dan wajahnya seperti dalam kesedihan. Tiba-tiba dahan kayu jatuh berhampiran rumah Husin dan Husin memandang seketika pada dahan yang jatuh itu dan berpaling semula pada gadis tersebut tapi gadis berpakaian serba putih itu hilang.

    Husin bergegas masuk ke dalam rumahnya. Di hatinya tertanya-tanya siapakah gadis yang secara tiba-tiba muncul di hadapannya.

    “Apakah ia manusia atau hantu puntianak yang dahagakan darah?” kata Husin seorang diri.

    Malam itu hujan turun renyai-renyai dan sesekali angin bertiup kencang. Husin tidak dapat melelapkan matanya dan duduk di atas katil.

    Gambar Freepik

    “Sudah lima kali aku melihat kejadian seperti ini, apakah rumah atau tanah ini puncanya hantu atau manusia itu muncul secara tiba-tiba di hadapanku. Kalau dia hantu mustahil dia melepaskan peluang mangsanya ada di depan mata, siapakah dia?” tanya Husin pada dirinya sendiri.

    Malam-malam seterusnya Husin terus diganggu oleh kemunculan gadis tersebut. Pada malam seterusnya, hujan turun renyai-renyai disertai dengan angin bertiup lembut dan lolongan anjing di kejauhan sana.

    Tiba-tiba Husin terdengar suara jeritan meminta tolong.

    “Tolong…tolong..jangan seksa aku,” suara yang sungguh menyayat hati merintih dan menangis.

    Husin tidak berani membuka jendela kerana ketakutan.

    “Tolong lepaskan aku, lepaskan,” suara itu meratap hiba meminta tolong. Husin tetap di tempat duduknya.

    “Suara itu meminta tolong perlukah aku menghulurkan bantuan pada suara itu, kalau manusia takkanlah tiap-tiap malam suara itu meminta tolong. Andainya orang yang empunya suara itu puntianak, tentu aku mati kerana menolongnya bahkan bukan saja mati tapi badanku akan dirobek-robek, jantungku akan dimakan,” kata Husin seorang diri.

    Pagi esoknya, Husin berjalan-jalan di kampung itu. Tiba-tiba mata Husin tertarik pada sepohon kayu besar berdekatan dengan sungai.

    Di pangkal pohon itu terdapat bekas-bekas seperti tempat pembakaran.

    “Hem,” Husin terkejut dan menoleh ke belakang, seorang tua berumur 40an berada di belakangnya.

    “Apa anak ni buat di sini seorang diri?” tanya orang tua itu.

    “Tak ada apa-apa pakcik. Saya cuma jalan-jalan aje,” jawab Husin.

    “Oh begitu, tapi anak ni datang dari mana tak pernah pakcik nampak anak sebelum ni,” tanya orang tua itu lagi.

    “Saya berasal dari bandar pakcik, datang ke sini kerana bercuti dan saya menyewa salah sebuah rumah di kampung ni, em lupa pula, nama saya Husin dan pakcik?” tanya Husin.

    “Nama pakcik Pak Budin, tinggal tak berapa jauh dari sini,” kata orang tua itu.

    “Oh begitu, boleh saya tanya sesuatu pakcik?” kata Husin.

    “Tanya apa?” kata Pak Budin.

    “Pohon kayu nilah pakcik seperti tersimpan rahsia yang belum saya ketahui, pohon kayu ini betul-betul aneh,” kata Husin.

    Pak Budin diam seketika lalu berkata, “Nampaknya anak ni benar-benar ingin tahu apa yang terjadi di sini. Baiklah pakcik akan ceritakan,” kata Pak Budin sambil merenung jauh.

    “Peristiwa ini terjadi sepuluh tahun yang lalu dan pakcik berasa keberatan menceritakannya pada nak Husin,” kata Pak Husin sambil mengesat air matanya.

    “Ceritakanlah pakcik, apakah sebenarnya rahsia yang tersimpan di sebalik pohon ini,” kata Husin sambil memandang Pak Budin.

    “Anak pakcik namanya Mawarni telah bercinta dengan Kamal. Kerana cemburu dan sakit hati, beberapa orang pemuda di kampung lain telah membuat fitnah kononnya Mawarni dan Kamal telah melakukan perbuatan terkutuk.

    Pada hal Mawarni tidak seperti yang mereka sangkakan, Mawarni seorang gadis yang beriman, sikapnya berlainan dengan gadis-gadis di kampung ini.

    Bila saja terdengar Mawarni dan Kamal telah melakukan perbuatan terkutuk itu, orang-orang kampung lalu datang ke rumah pakcik dan menangkap Mawarni yang pada ketika lepas mengambil wuduk kerana sudah masuk solat Maghrib. Tangan Mawarni diikat dan dibawa ke pohon ini tanpa disiasat terlebih dahulu apakah Mawarni benar-benar bersalah atau tidak. Mawarni teruk diseksa, dipukul sehingga badannya bengkak.

    Kamal yang secara kebetulan baru pulang dari surau cuba menyelamatkan Mawarni, tetapi Kamal telah dibunuh dengan kejam oleh pemuda-pemuda itu dan mayatnya dibuang ke sungai. Setelah dua hari Mawarni diseksa, Mawarni kemudian dibakar hidup-hidup dan tulang belakang Mawarni disorokkan di celah-celah lubang pohon ini.

    Setiap malam ada-ada sahaja peristiwa yang ganjil berlaku setelah kematiannya dan kemudian seorang demi seorang pemuda-pemuda dan orang kampung yang turut membakar Mawarni dirobek-robek jantungnya dimakan dan darahnya dijilat seperti harimau kelaparan.

    Sekarang tinggallah pakcik dan isteri serta seorang anak pakcik yang tinggal setelah ketiadaan Mawarni, kakak Morni,” kata Pak Budin sambil mengesat air matanya.

    “Sungguh kejam, manusia tidak berhati perut sanggup membakar manusia yang tidak berdosa. Sekarang tahulah saya pakcik mengapa saya selalu diganggu oleh suara jeritan itu,” kata Husin geram.

    “Semuanya sudah berlalu tapi apa gunanya pakcik telah kehilangan Mawarni,” kata Pak Budin teramat sedih lalu meninggalkan Husin. Husin pulang ke rumahnya dan hatinya mulai berani, malam itu Husin mengambil cangkul di bawah rumah lalu dibawanya ke kuburan. Tanpa berlengah lagi Husin menggali lubang. Setelah siap lubang digali, Husin lalu pergi ke pohon tempat pembakaran Mawarni. Husin tercari-cari di mana letaknya tulang belulang tengkorak Mawarni.

    Tiba-tiba Husin terpandang sesuatu lalu mengambilnya. Husin terkejut bukan kepalang bila di tangannya memegang tengkorak.

    “Aku pasti tentulah tengkorak Mawarni,” kata Husin seorang diri.

    Tanpa membuang masa Husin lalu menyimpan tulang belulang Mawarni ke dalam guni.

    Sampai di perkuburan, Husin lalu menyusun tulang belulang Mawarni dalam lubang kubur.

    Setelah selesai mengubur tulang belulang Mawarni, Husin bangkit lalu berdiri.

    “Bersemadilah dengan tenang, semoga roh ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman, amin,” kata Husin disertai dengan doanya.

    Pada keesokan pagi dan malam seterusnya, Husin tidak diganggu lagi. Tetapi setelah seminggu kemudian, Husin bermimpi bertemu Mawarni dan Kamal sedang bermain di taman bunga yang indah dan melambaikan tangan pada Husin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda