Kehidupan yang sibuk sering menyebabkan lelaki mengabaikan pemakanan, mengutamakan kerja dan memilih makanan segera yang kurang berkhasiat.
Namun, diet yang betul dapat membantu mengekalkan tenaga, meningkatkan fokus dan memastikan tubuh kekal cergas.
Berikut adalah panduan diet mudah yang sesuai untuk lelaki dengan jadual yang padat.
MULAKAN HARI DENGAN SARAPAN BERKHASIAT
Sarapan adalah makanan paling penting kerana ia memberikan tenaga untuk memulakan hari.
Bagi lelaki sibuk, sarapan mudah seperti oat segera dengan susu dan buah-buahan, smoothie pisang dengan yogurt dan mentega kacang atau dua biji telur rebus bersama roti gandum adalah pilihan ideal.
Untuk menjimatkan masa, sediakan bahan sarapan pada malam sebelumnya agar awda tidak tergesa-gesa pada waktu pagi.
SNEK SIHAT UNTUK TENAGA SEPANJANG HARI
Menghadapi hari yang sibuk memerlukan snek yang sihat untuk mengekalkan tenaga.
Pilihan seperti badam, walnut atau kekacang tanpa garam boleh membantu mengelakkan rasa lapar melampau.
Buah-buahan seperti epal atau pisang serta protein bar rendah gula, juga sesuai untuk dimakan semasa berada dalam kesibukan.
Elakkan snek seperti coklat dan kerepek kentang yang tinggi gula dan kalori kosong.
UTAMAKAN MAKAN TENGAH HARI SEIMBANG
Walaupun sibuk, cuba elakkan makanan segera seperti burger atau ayam goreng.
Sebaliknya, pilih hidangan seimbang yang mengandungi protein (contohnya ayam, ikan atau tofu), karbohidrat kompleks (seperti nasi perang atau quinoa) dan sayur-sayuran segar.
Jika awda makan di luar, pilih restoran yang menawarkan menu sihat seperti sup, salad atau makanan panggang.
Ini membantu memastikan awda kekal bertenaga sepanjang hari.
MINUM AIR KOSONG SECUKUPNYA
Dehidrasi boleh menyebabkan keletihan, kurang fokus dan menjejaskan produktiviti.
Pastikan awda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Membawa botol air ke tempat kerja atau ke mana sahaja adalah cara mudah untuk memastikan awda kekal terhidrat.
Di samping itu, gantikan minuman manis seperti soda dengan air kosong atau teh tanpa gula untuk pilihan yang lebih sihat.
ELAK MAKAN LEWAT MALAM
Makan lewat malam boleh mengganggu sistem pencernaan dan menyumbang kepada peningkatan berat badan.
Jika awda lapar pada waktu malam, pilih makanan ringan yang sihat seperti segelas susu rendah lemak, sebiji buah seperti epal atau yogurt rendah lemak.
Ini mampu membantu mengelakkan rasa lapar tanpa menjejaskan kesihatan.
TETAPKAN CHEAT DAY
Diet yang sihat tidak bermaksud awda perlu melepaskan semua makanan kegemaran.
Tetapkan satu hari dalam seminggu untuk cheat day di mana awda boleh menikmati makanan yang digemari.
Namun, pastikan awda tidak berlebihan dan kembali kepada rutin pemakanan sihat selepas itu.
Perlu diingat bahawa kesihatan adalah pelaburan jangka panjang yang paling berharga untuk kejayaan hidup awda. Mulakan perubahan sekarang untuk hasil yang besar di kemudian hari. – Agensi