Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia keistimewaan ternakan lebah kelulut

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap ciptaan Allah SWT di muka bumi ini pastinya mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan yang tersirat.

    Apa yang pasti, segala yang diciptakan itu tiada yang sia-sia melainkan bersamanya turut memiliki seribu satu rahsia yang penuh keistimewaan jika kita sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran sentiasa berusaha mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah yang terkandung di dalamnya.

    Salah satu ciptaanNya yang semestinya mampu memberi manfaat dalam kehidupan manusia ialah lebah. Ia sememangnya memiliki penawar kepada pelbagai jenis penyakit yang tersembunyi di dalam cairan yang dihasilkan darinya yang disebut madu.

    Kehebatan anugerah dari Maha Pencipta ini jelas terbukti di dalam kitab suci Al-Quran melalui Surah An-Nahl, sebagaimana tafsirnya dari ayat 68 hingga 69.

    “Dan Tuhanmu memberikan ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-gunung dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

    Haji Abidin selaku Pengusaha Madu Kelulut di bawah Syarikat Muzayadin di kawasan sekitar kediaman beliau yang terletak di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.
    Madu kelulut merupakan produk utama yang dihasilkan oleh Haji Abidin dalam ternakan lebah kelulut beliau.
    Seakan-akan sebuah tempayan kecil dan di dalamnya lebah kelulut menyimpan cairan yang berupa madu yang semestinya mengandungi pelbagai khasiat bagi kesihatan manusia di dunia.
    Inilah salah satu laluan masuk dan keluar lebah kelulut ke sarangnya.

    “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (kebesaran Allah Subhanahu Wata’ala) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

    Ratusan rumah kelulut

    Tidak semua lebah itu merupakan sejenis serangga menyengat tetapi terdapat juga jenis lebah yang tidak bersengat yang dikenali sebagai lebah kelulut atau dalam bahasa Inggeris disebut ‘stingless bee’. Ia serupa lebah yang berbisa iaitu golongan serangga yang memakan manisan bunga (nektar) untuk menghasilkan madu dan juga sebagai agen pendebungaan.

    “Dengan adanya taman ternakan lebah kelulut ini, ia sememangnya dihasrat bagi memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya masyarakat di negara ini mengenai dunia ternakan lebah kelulut ini, lebih-lebih lagi dalam mengenal pasti akan keaslian apabila dikonsumsi dalam kehidupan seharian,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Haji Abidin bin Haji Tengah selaku Pengusaha Madu Kelulut di bawah Syarikat Muzayadin di kawasan sekitar kediaman beliau yang terletak di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.

    Beliau yang telah menjalankan ternakan lebah kelulut sejak tahun 2015 itu memiliki lebih 100 sarang lebah kelulut yang terdiri dari dua spesies iaitu Itama dan Tuma. Jelasnya, kebiasaannya beliau memperoleh sarang-sarang lebah kelulut itu daripada para pembekal yang memiliki kepakaran yang mencari lebah di kawasan hutan di negara ini. Lazimnya lebah kelulut bersarang dalam rongga pokok, rongga dalam tanah dan sebagainya itu diistilahkan sebagai perumah yang mana proses penebangan atau pemotongan batang pokok mestilah mengikut kaedah atau teknik tertentu.

    Madu asli itu mudah didatangi serangga semut

    Dalam pada itu, Haji Abidin yang sentiasa memantapkan diri dalam ilmu ternakan lebah kelulut antaranya melalui kursus asas bersama salah seorang tenaga pengajar dari Malaysia di negara ini sekitar tahun 2016 meliputi proses pemotongan kayu, pembuatan sarang sehingga proses penuaian madu.

    Lebah kelulut menyimpan madu di tempayan kecil yang dilapisi dengan propolis. Memiliki bermacam-macam warna. Rasanya juga berbeza-beza iaitu masam-masam manis, ada kalanya pahit manis dan manis sepenuhnya itu. Ini kerana perbezaan rasa madu lebah kelulut itu bergantung kepada manisan dari bunga yang dihinggapi lebah.

    Di samping itu, beliau yang merupakan salah seorang peminat tegar madu asli dalam kehidupan sehari-hari juga menyatakan bahawa apabila madu itu mudah didatangi serangga semut maka ia menandakan keasliannya namun jika sebaliknya, ia menunjukkan madu berkenaan mengandungi bahan-bahan tambahan seperti kimia atau pengawet. Selain itu, madu yang asli juga tidak akan mengalami kepekatan meskipun di simpan di dalam peti sejuk.

    Rahsia di sebalik ternakan lebah kelulut

    Apa yang pasti, madu lebah kelulut itu kaya dengan khasiat yang amat baik untuk kesihatan manusia. Antaranya ialah mengawal paras gula dalam darah; mengubati radang sendi, selesma dan sakit perut; menjaga kesihatan mata; meningkatkan stamina; dan melancarkan fungsi kercergasan otak.

    Selain mengeluarkan produk madu lebah kelulut, Haji Abidin juga kini mula berjinak-jinak dalam menghasilkan sabun propolis namun hanya menawarkan kepada ahli keluarga dan saudara-mara terdekat serta sahabat-handai sebagai testimoni terlebih dahulu.

    Adapun khasiat sabun berkenaan yang menggunakan bahan-bahan semula jadi iaitu propolis, madu kelulut, gluten sayuran dan minyak kelapa dara. Di antara faedahnya ialah untuk mengekalkan kesihatan kulit iaitu dapat menyembuhkan penyakit ekzema atau pun kulit yang sensitif, merawat jerawat atau parut jerawat, tumit retak dan sebagainya.

    Kompleks Sehenti

    Sehubungan dengan itu, sepanjang menceburi dunia keusahawanan tanah air ini, Haji Abidin juga turut menaruh harapan agar pihak yang berkenaan dapat sama-sama meningkatkan potensi produk-produk tempatan ini iaitu salah satunya dengan menubuhkan atau menyediakan sebuah kompleks sehenti khususnya untuk para pengusaha tempatan meliputi produk makanan dan minuman serta barangan.

    “Dengan adanya inisiatif sebegini, ia sememangnya dapat meningkatkan semangat juang para usahawan tempatan dan juga memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan demi menggurangkan masalah pengangguran di negara ini.

    “Hal ini juga secara tidak langsung dapat mencetus potensi sektor pelancongan di negara ini dari semasa ke semasa,” ujarnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda