Rahsia Kepimpinan Islam

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan tentang kepentingan mengenang dan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, supaya dengan itu segala jasa dan gaya kepimpinan Baginda Rasulullah dapat diingati dan dicontohi.

“Tetapi dalam era baru ini, bukan semua orang nampak akan rahsia tersebut. Kerana itu terdapat sebahagian orang Islam sendiri yang terjebak memilih kepimpinan lain dari Islam.

“Natijahnya, banyaklah hal-hal bertentangan dengan Islam dilakukan oleh mereka. Situasi ini boleh saja mengundang kepada pelbagai keburukan di dunia, bahkan turut menunggu juga ialah ganjaran pedih di akhirat nanti,” titah Baginda lagi sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1441 Hijrah/2019 Masihi bertempat di Istana Nurul Iman.

“Alhamdulillah, kepimpinan Brunei, sejak lebih dari 600 tahun lagi, tidak pernah membelakangi Islam. Kerana itu Brunei selamat dan malah terus menerus berhias dengan berkat.”

Keberkatan yang menghiasi Brunei dapat dikesan melalui segala aspek, terutama aspek kehidupan. Semua rakyat dilihat riang, gembira dan bersatu padu, tanpa berlaku sebarang pergaduhan atau pertelagahan. Masing-masing dilihat mempunyai semangat tinggi untuk memelihara keamanan dan keharmonian, tegas Baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto

Negara juga terus menerus stabil dan makmur, mampu untuk membangun dengan izin Allah.

Niat kita membangun adalah semata-mata untuk rakyat dan negara. Rakyat dikelinga dan negara pula dibina. Inilah ajaran agama kita. Sesama rakyat dituntut untuk tidak camah mata. Mana-mana yang kuat hendaklah menolong yang lemah, dan yang senang menolong yang susah. Inilah rukun hidup dalam kepimpinan Islam.

Pemimpin menurut perspektif Islam adalah contoh atau tauladan atau ikutan terbaik, sebagaimana tafsiran ayat 21, Surah Al-Ahzab, ‘Bahawa sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan hari akhirat’.

“Kepimpinan nabi berstatus wahyu, di mana mengambil dan memakainya adalah ibadat. Selaku ibadat, kita bukan sahaja menjadikannya panduan, malah juga dapat meraih pahala yang dijanjikan,” titah Baginda.

Baginda Rasulullah tidak diragukan lagi adalah rasul akhir zaman dan pemimpin tertinggi seluruh umat.

“Ayat ini secara tepat memberitahu, bahawa Rasulullah SAW adalah pemimpin kita, dan kepimpinan Baginda disifatkan sebagai kepimpinan yang paling baik atau terbaik.

“Maka kerana itu, wajar bagi kita untuk memilih kepimpinan Baginda semata-mata, bukannya kepimpinan yang tidak ada kena mengena dengan kepimpinan Nabi SAW.

“Sebab itu Nabi SAW sampai memberi peringatan, bahawa tidak beriman seseorang itu jika dirinya saja yang kenyang, sedang jirannya dibiarkan lapar (maksud hadis).

“Inilah antara contoh kepimpinan Nabi SAW. Siapakah yang dapat menandingi kepimpinan seperti ini?”titah Baginda lagi.

Terdahulu, Baginda Sultan bersyukur kerana dapat menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul dan berharap kita akan terus memperingatinya, kerana memperingati Maulid Ar-Rasul itu adalah wadah bagi menyingkap balik kerasulan dan kepimpinan Nabi SAW.