Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia masa lampau Afrika yang hilang di Pakistan

    MENARI sambil menyanyi di sebuah kuil buaya di luar Karachi, beratus-ratus penduduk Sheedis Pakistan menari tanpa alas kaki mengikut rentak irama dengan bahasa yang tidak lagi dipraktikkan oleh mereka.

    Perayaan itu bertujuan untuk menghubungkan kembali adat dan budaya mereka yang berakarkan budaya Afrika. Bagi kebanyakan masyarakat Sheedis, kuil buaya payau itu merupakan tempat keramat kepada Haji Syed Shaikh Sultan yang lebih dikenali sebagai Mangho Pir dan merupakan simbol paling kuat dari masa lalu mereka yang dikongsi bersama dengan benua Afrika serta berjuang untuk mendedahkan jejak yang dibawa oleh nenek moyang mereka ke negara Pakistan itu.

    Mohammad Akbar yang berusia 75 tahun, telah berputus asa untuk mencari asal-usul keluarganya. Kebanyakan penduduk Pakistan yang berketurunan Afrika telah tiba di pinggir benua itu selama berabad-abad, Sheedis terus bangkit menjadi sebuah masyarakat berkedudukan tinggi yang memegang jawatan sebagai jeneral dan pemimpin semasa Empayar Mughal, yang telah memerintah beberapa buah negara di Asia Selatan.

    Namun masyarakat ini telah didiskriminasi semasa pemerintahan British, tradisi mereka mula pudar dan mereka mendapati bahawa diri mereka semakin dipinggirkan apatah lagi semenjak Pakistan mula berdiri sendiri pada tahun 1947, di mana golongan elit masyarakat ini tersisih sepenuhnya khususnya dalam bidang politik dan tentera elit negara berkenaan.

    Menurut catatan, dianggarkan sekitar 50,000 masyarakat Sheedis menetap di negara berkenaan. Salah seorang daripada kalangan masyarakat itu ialah Mohammad Akbar, di mana nenek moyang mereka telah tiba di Pakistan dan Akbar berusaha untuk mengesan asal-usul keluarga mereka di negara tersebut.

    Kebanyakan penduduk Pakistan yang berketurunan Afrika telah tiba di pinggir benua itu selama berabad-abad. – AFP
    Mangho Pir juga merupakan rumah kepada lebih 100 ekor buaya yang merangkak di kawasan kolam hijau yang berpaya di mana ia hidup selama beberapa generasi. – AFP

    “Pada tahun 1960an, saya tahu bahawa datuk saya adalah orang Zanzibar dan kami telah menghubungi kedutaan Tanzania untuk mencari lagi keluarga kami,” kata Akbar kepada AFP di luar rumahnya di Karachi.

    “Kami telah diberitahu bahawa kami tidak boleh menemui mereka sehingga kami dapat mengenal pasti suku kaum kami, yang sebenarnya kami tidak ketahui, malah saya tidak akan mencarinya lagi,” tambah Akbar lagi kepada media.

    Namun situasi masih lagi sama di mana dokumentasi atau sejarah mengenai masyarakat itu sangat sedikit untuk dibincangkan.

    Apa yang sering menjadi perbualan ialah masyarakat ini telah tiba di benua itu sebagai sebahagian daripada perdagangan hamba Afrika ke kawasan Timur, namun tanggapan itu ditolak oleh kebanyakan masyarakat Sheedis, yang mana kebanyakannya kini tinggal di wilayah Selatan Sindh.

    “Kami tidak dapat menerima teori-teori yang menganggap kami sebagai hamba ke rantau ini kerana Sheedis dianggap sebagai sebuah negara dan bukan hamba,” kata Yaqoob Qanbarani, Ketua Pakistan Sheedi Ittehad, sebuah kumpulan komuniti masyarakat itu.

    Manakala ada juga yang mengatakan bahawa asal-usul masyarakat ini dikesan kembali semasa era genesis Islam yang berkongsi legasi bersama Bilal, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling dekat.

    Oleh kerana itu, pengetahuan sejarah mengenai asal-usul mereka sangat sedikit untuk dibicarakan, begitu juga budaya dan tradisi mereka, termasuk peninggalan Bahasa Swahili yang pernah dituturkan di Karachi.

    “Swahili telah menjadi sebahagian bahasa yang tidak lagi digunakan bagi beberapa generasi sekarang,” kata Ghulam Akbar Sheedi, pemimpin komuniti yang berusia 75 tahun.

    “Saya masih ingat bahawa nenek saya sering kali menggunakan frasa Swahili secara ekstensif dalam perbualan harian kami,” kata Atta Mohammad yang berusia 50 tahun, yang mana kini berusaha untuk mengingati beberapa ungkapan daripada bahasa itu.

    Perayaan itu bertujuan untuk menghubungkan kembali adat dan budaya mereka yang berakarkan budaya Afrika. – AFP

    ‘Ditangkap oleh roh’

    Dengan begitu banyak tradisi yang telah hilang dari masa lalu, Perayaan Sheedi Mela telah diadakan di Kuil Mangho Pir dan dianggap sebagai satu perayaan penting dan menjadi pusat komuniti di Sindh selama berabad-abad.

    Kebanyakan komuniti itu tidak tahu kenapa ia diadakan di situ, mereka hanya mengikuti langkah-langkah dan mengulangi kata-kata nenek moyang mereka.

    “Ia menarik lebih banyak masyarakat Sheedi dari seluruh Pakistan,” kata Qanbarani kepada AFP. “Kami meraikan Magho Pir Mela sama seperti kami meraikan Aidilfitri,” tambahnya lagi kepada media.

    Festival ini menampilkan perarakan tarian yang dikenali sebagai Dhamal, iaitu lelaki dan perempuan berjalan beriringan iaitu satu pemandangan yang sememangnya jarang berlaku dalam masyarakat konservatif Pakistan.

    “Tarian Dhamal, dilakukan dengan satu pengabdian yang hebat dan terdapat banyak makanan istimewa,” kata Atta Mohammad, yang bercakap dengan AFP semasa perayaan itu. “Sebahagian daripada kami telah ditangkap oleh roh yang suci,” tambahnya lagi.

    Mehrun Nissa yang berusia 65 tahun telah menyediakan pelbagai jenis minuman semasa perayaan itu dijalankan.

    Mangho Pir juga merupakan rumah kepada lebih 100 ekor buaya bersama para penganut kefahaman itu di kawasan kolam hijau yang berpaya di mana ia hidup selama beberapa generasi.

    Menurut mitos bahawa kutu di kepala ulama Sufi itu berubah menjadi reptilia berkenaan, yang kini hidup di dalam makam mereka.

    Buaya tertua, dikenali sebagai Lebih Sawab, dan dipercayai sudah berumur di antara 70 dan 100 tahun, dipersembahkan semasa kemuncak perayaan itu dengan garland dan serbuk hiasan ketika diberi potongan daging mentah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda