Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahsia senjata disimpan di hospital terbongkar

    SECAUCUS, 10 OGOS – Pengarah pemasaran sebuah hospital di utara New Jersey, Amerika Syarikat (AS) berdepan tuduhan berkaitan pemilikan senjata selepas rahsia beliau menyimpan senjata di hospital terdedah.

    Menurut polis, senjata terbabit ditemui ketika pemeriksaan susulan ancaman bom di Hospital Hudson Regional pada 18 Julai lalu, yang kemudian disahkan palsu.

    Sebaliknya, sewaktu pencarian, anjing pengesan bom membawa penyiasat ke almari pejabat yang tidak berkunci, di mana puluhan senjata api ditemui.

    Polis berkata, antara senjata api itu adalah 11 pistol dan 27 raifal atau senapang patah.

    Dalam almari sama turut ditemui senapang separa automatik berkaliber 45 dengan kelongsong peluru berkapasiti tinggi yang disahkan sebagai selaras raifal serangan dan kelopak peluru pistol berkapasiti 14 pusingan.

    Susulan itu, polis memberkas Reuven Alonalayoff di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty pada Ahad lalu.

    Penduduk Elmwood Park yang berusia 46 tahun itu didakwa memiliki selaras raifal serangan dan dua kelongsong peluru berkapasiti tinggi.

    Alonalayoff dijadual hadir di mahkamah pada 22 Ogos ini.

    Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dia diwakili peguam atau sebaliknya manakala pihak hospital setakat ini belum mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda