CIKU atau nama saintifiknya manilkara zapota adalah buah yang sering dimakan dalam keadaan segar. Ia juga sedap dimakan dalam keadaan segar di mana biasanya dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut.
Rasanya yang manis memberikan tenaga segera kerana ia penuh dengan fruktosa dan sukrosa. Biasanya ciku akan dibelah dua dan isinya dimakan begitu sahaja. Isinya juga boleh dijadikan sebagai smoothies.
Ciku yang telah matang mudah rosak. Sebab itu jugalah buah segar ini perlu dimakan dalam masa tidak lebih dari seminggu.
Dikatakan ciku berasal dari Amerika Tropika. Namanya berbeza mengikut tempat. Masyarakat dunia mengenali ciku dengan nama Sapodilla dalam Bahasa Inggeris atau Zapote dalam Bahasa Sepanyol.
Ia juga merupakan merupakan sumber terbaik mineral seperti kalium, tembaga, besi dan vitamin seperti folat, niasin dan asid pantotenik.
Sebatian ini amat diperlukan untuk kesihatan secara sepenuhnya kerana ia melibatkan pelbagai proses metabolisme dalam tubuh dan juga sebagai cofactor untuk enzim.
Wanita hamil dan menyusukan anak damit dikatakan baik mengamalkan pemakanan ciku kerana ia banyak mengandungi zat dan karbohidrat yang diperlukan oleh ibu bagi menyusukan anak damit.


Banyak serat bantu pencernaan
Ciku adalah buah yang tinggi dengan kalori. Dikatakan 100 gram ciku menyediakan 83 kalori. Ia juga merupakan sumber kaya dengan serat pemakanan dan menjadikan ia baik sebagai penjulap.
Kandungan serat ini dikatakan mampu membantu untuk melegakan sembelit dan membantu melindungi mukosa usus daripada toksin penyebab kanser.
Hentikan pendarahan
Ciku kaya dengan sumber antioksida sebatian tanni polifenol. Tannin memiliki sifat-sifat astringen serta kesan anti keradangan, antivirus, antibakteria, dan antiparasit.
Oleh itu, sebatian ini berguna dalam perubatan tradisional sebagai anti diarrea, menghentikan pendarahan dan juga sebagai ramuan buasir.
Baik untuk mata dan kulit sihat
Dikatakan ciku mengandungi sejumlah vitamin seperti vitamin C dan vitamin A. Vitamin A amat perlu untuk penglihatan. Ia turut diperlukan untuk mengekalkan membrane mukus dan kulit sihat.
Pengambilan buah yang kaya dengan vitamin dikatakan mampu memberikan perlindungan daripada kanser paru-paru dan rongga mulut.
Manakala pengambilan buah mengandungi vitamin C mampu mengelakkan radikal bebas membahayakan tubuh.
Lindungi jantung
Selain vitamin A dan C, ciku juga dikatakan mengandungi vitamin B kompleks dan vitamin E. Semua vitamin ini merangsang kekebalan tubuh.
Vitamin E dalam ciku memiliki sebatian kimia alpha tocopherol yang dikatakan mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Legakan batuk dan kongesi
Dikatakan memakan ciku mampu untuk melegakan batuk dan kongesi (kehadiran darah atau bendalir tisu yang berlebihan dalam satu organ atau tisu).
Memudahkan pembuangan air
Tubuh mengandungi banyak air dan bahan buangan. Cara untuk membuang air dan bahan buangan yang tidak diperlukan adalah melalui pembuangan air kecil.
Memakan ciku dikatakan boleh menyebabkan anda sentiasa buang air kerana ciku bersifat diuretik. Makanlah ciku untuk mencegah daripada penahanan air dalam tubuh.
Wanita hamil dan menyusukan anak damit dikatakan baik mengamalkan pemakanan ciku kerana ia banyak mengandungi zat dan karbohidrat yang diperlukan oleh ibu bagi menyusukan anak damit. Memakan ciku dikatakan mampu membantu wanita hamil mengurangkan rasa loya dan pening.
Mengawal tekanan darah
Kandungan magnesium dalam ciku dikatakan mampu untuk memastikan pembuluh darah berada dalam keadaan sihat dan kandungan kalium mampu untuk mengawal tekanan darah dan peredaran darah.
Sumber mineral seperti besi, folat, kalsium, magnesium, zink, tembaga, fosforus dan selenium dalam ciku amat baik untuk mengatur pelbagai fungsi tubuh termasuklah pertumbuhan tulang sempurna.
Dikatakan memakan ciku dengan kerap mampu untuk memastikan zat yang diperlukan bagi memastikan rambut kekal sihat sentiasa mencukupi.