Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rai Aidilfitri bersama mualaf

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    TEMBURONG, 23 Julai – Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama mualaf diteruskan lagi dengan kunjungan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Datin ke Daerah Temburong.

    Turut hadir bersama rombongan ialah Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, pegawai pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta para pegawai dan kakitangan PDI dan Unit Dakwah Daerah Temburong.

    Majlis yang berlangsung di Balai lbadat Kampung Sibut itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Balai Ibadat Kampung Sibut, Awang Lisa bin Haji Tengah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan Ketua Unit Dakwah Daerah Temburong, Awang Hazimin bin Haji Metali selaku pengerusi majlis.

    Seterusnya, majlis diserikan dengan beberapa persembahan oleh murid-murid Sekolah Ugama Amo Temburong dan belia-belia Masjid Utama Mohd Salleh serta para mualaf Daerah Temburong.

    Tetamu kehormat juga berkesudian untuk beramah mesra dengan para mualaf dan berkunjung ke Rumah Bahagia, Kampung Sibut yang terletak berhampiran Balai Ibadat Kampung Sibut.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama mualaf Daerah Temburong.
    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama mualaf Daerah Temburong.

    Rumah tersebut terdiri daripada empat unit yang masing-masing dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, ruangan makan dan bilik mandi serta tandas.

    Rumah Bahagia tersebut mula dibina pada 2 Oktober 2003 dengan kos $154,700 yang dibiayai oleh Majlis Ugama Islam Brunei. Rumah tersebut mula didiami pada 19 Julai 2004 dan pada masa ini dihuni oleh 3 buah keluarga mualaf seramai 14 orang.

    Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama mualaf ini merupakan acara PDI yang berobjektif sebagai pemedulian terhadap kebajikan mualaf khususnya yang berada di kawasan pendalaman di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara para mualaf dan warga KHEU amnya dan PDI khasnya.

    Keramaian orang yang memeluk agama Islam di Daerah Temburong dari Januari hingga 1 Jun 2017 adalah sembilan orang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda