Rai Aidilfitri dengan ‘pelita’ moden

Oleh Amri HTZ

Menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi suatu kemestian bagi umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan kemenangan setelah berpuasa penuh.

Walaupun perayaan pada tahun ini berbeza daripada sebelumnya, di mana hanya keluarga terdekat dibenarkan untuk berkumpul disebabkan pandemik COVID-19, namun ia bukanlah halangan untuk meraikannya bersama keluarga.

Sebagai persiapan sebelum berkumpul, ruangan rumah perlu dipersiapkan sebaik-baiknya bagi menyambut tetamu. Salah satu kemestian bagi meraikan Aidilfitri adalah dengan menghiasi ruangan atau persekitaran rumah dengan pelita. Berbeza dengan pelita konvensional, rai raya tahun ini dengan ‘pelita’ moden dengan merekanya sendiri.

Persediaan itu penting

Dalam mereka ‘pelita’ moden yang diperbuat daripada cawan kertas ini, beberapa barangan yang perlu disediakan ialah 13 cawan kertas, pisau utiliti, gam atau hot glue gun, gunting, pita pengukur (fleksibel seperti pengukur badan), perekat dua muka, pen berbentuk bulat, pensel penanda, dawai, playar pemotong dan lampu LED dikuasakan bateri.

Mudah dan cukup murah

Bagi langkah pertama pembuatan, cawan kertas yang telah disediakan akan dipotong bahagian mulutnya (kertas membulat keras sebagai bahagian sokongan mengekalkan bentuk cawan) menggunakan gunting. Setelah memotongkannya, ukur diameter cawan (bahagian yang dipotong) menggunakan pita pengukur fleksibel. Jika awda tidak memiliki pita pengukur sedemikian, menggunakan seutas tali dan kemudian mengukurnya juga cukup memadai.

Mulut cawan yang perlu ditandakan dengan ukuran 1.5sm setiap satu sebelum memotongkannya.
Proses melekatkan pita perekat dua muka pada bahagian bawah cawan kertas.
Keseluruhan struktur ‘pelita’ moden yang telah dicantumkan.
Proses membentuk potongan kertas cawan menggunakan pen dan melekatkan bahagian hujungnya pada permukaan pita perekat.
Bahagian yang perlu dipotong sebelum membolehkannya dibentuk.
Cara melekatkan setiap cawan yang telah dibentuk dengan memadankan pita perekat di kedua-dua cawan.

Dalam projek ini, cawan yang digunakan mempunyai diameter 22.6sm. Ukuran yang didapatkan ini kemudiannya akan dibahagikan kepada 15 dan perlu ditandai pada permukaan cawan. Jika cawan yang digunakan lebih besar atau kecil, ukuran bukanlah suatu masalah di mana awda hanya perlu mengikuti langkah membahagikannya kepada 15 (diameter cawan yang didapatkan).

Diameter cawan yang dibahagikan kepada 15 ini akan menjadikan setiap satu bahagian berukuran 1.5sm. Menggunakan pita pengukur tadi, tandakan bahagian mulut cawan setiap ukuran 1.5sm dengan 15 bahagian. Pastikan kawasan yang ditandakan dimulakan dari kawasan percantuman kertas cawan bagi memastikan bahagian tersebut tidak berada di tengah ukuran nanti yang akan menjadikan ia sukar untuk dibulatkan kerana memiliki permukaan yang agak keras disebabkan gam. Lakukan langkah yang sama pada kesemua 13 cawan kertas yang telah disediakan.

Langkah seterusnya adalah melekatkan pita pelekat dua muka pada kawasan sekeliling bahagian bawah cawan tanpa membuka penutup pita bahagian atas (akan dibuka kemudian). Bahagian mulut cawan yang telah ditandakan tadi kini boleh mula dipotong lurus sehingga di kawasan pita perekat dilekatkan.

Kertas bahagian hujung (mulut cawan) akan dibuangkan sedikit di kawasan kiri dan kanannya, lebih kurang 3mm, untuk memudahkan proses menggulung setiap bahagian nanti. Ini akan menjadikan kertas tersebut lebih berbentuk menajam berbanding sebelumnya.

Potongan 3mm yang dilakukan tidaklah perlu sehingga ke kawasan pita pelekat, mencakupi satu pertiga daripada ukuran kertas tersebut sudah mencukupi.

Selesai memotongkannya, penutup pita perekat kini boleh dibuka dan bahagian cawan yang telah dipotong-potongkan tadi akan digulung satu persatu. Menggunakan pen berbentuk bulat berdiameter lebih kurang 1sm, gulung kertas cawan pada permukaannya dan kekalkan bentuk membulat tersebut dengan melekatkan bahagian hujungnya pada permukaan pita perekat.

Lakukan langkah yang sama pada potongan cawan lainnya dan 13 cawan kertas yang disediakan. Untuk memastikan setiap potongan yang digulung cukup kukuh dan mampu mengekalkan bentuknya, sapukan gam di setiap bahagian percantuman (bentuk membulat).

Bagi mencantumkan keseluruhan struktur ‘pelita’ yang direka, potongkan pita pereka dua muka dengan ukuran 0.7mm panjang dan lekatkan pada kedudukan satu pertiga kertas bentuk membulat. Setiap lima bentuk tersebut, lekatkan satu pita perekat di mana jumlah kesemua pita perekat dilekatkan bagi setiap satu cawan ialah tiga (15 bentuk membulat dibahagi tiga). Lakukan langkah melekatkan pita perekat ini hanya pada 12 cawan yang telah dibentuk.

Langkah seterusnya adalah mencantumkan struktur ‘pelita’ dengan memadankan pita perekat yang telah dilekatkan pada setiap permukaan membulat cawan tadi. Cantumkan 12 daripada 13 cawan yang telah dibentuk di mana cawan terakhir akan diempatkan apabila lampu telah ditempatkan di dalamnya.

Bagi memastikan kedudukan lampu LED kekal pada kedudukannya, lekatkan pita perekat dua muka pada bahagian bawahnya dan lekatkannya pada permukaan cawan terakhir. Satu daripada jumlah cawan yang tidak dilekatkan pita perekat pada bahagian bentuk membulat adalah bagi memastikan awda mudah untuk menukarkan bateri, menghidupkan dan mematikan suis lampu nanti.

Setelah memilih ruangan di mana ia hendak diletakkan, jika ia ingin digantungkan, tebuk bahagian atas ‘pelita’ menggunakan pisau utiliti dan masukkan dawai ke dalamnya. Menggunakan lebihan wayar (dawai tembaga yang terdapat di dalamnya) juga mampu melakukan tugas yang sama dan ia cukup kukuh bagi menampung berat ‘pelita’ rekaan. Selain itu, meletakkannya di atas meja penyambut tetamu yang bertandang juga mampu menyerikan lagi perayaan Aidilfitri pada tahun ini walaupun hanya boleh dihadiri oleh saudara terdekat disebabkan COVID-19.