Tuesday, August 9, 2022
24.4 C
Brunei

Rai: Angka kematian meningkat 375

-

BANDAR SURIGAO, FILIPINA, 20 DIS – Angka kematian akibat taufan kencang yang melanda Filipina tahun ini meningkat kepada angka 375 orang kelmarin, ketika mangsa terselamat terdesak untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman dengan segera.

Pasukan palang merah Filipina melaporkan ‘kemusnahan sepenuhnya’ di kawasan pinggir pantai selepas taufan Rai menyebabkan kemusnahan teruk ke atas rumah, hospital dan sekolah.

Ribut kencang menerbangkan atap, menumbangkan pokok dan tiang elektrik, menghentam rumah kayu, merosakkan tanaman dan menyebabkan kampung-kampung ditenggelami air – mencetuskan perbandingan dengan kerosakan akibat taufan super Haiyan pada 2013.

“Keadaan kami sekarang sangat terdesak,” kata Ferry Asuncion, seorang peniaga jalanan di bandar yang teruk terjejas, Surigao, yang musnah dibadai ribut.

Penduduk memerlukan bantuan ‘makanan dan air minum’ dengan segera, tambahnya.

Sebuah kenderaan melintas tiang elektrik yang tumbang akibat Taufan Rai di Bandar Surigao. Angka kematian terus meningkat dan mencecah 375 orang. – AP

Sekurang-kurangnya 375 orang terbunuh dan 52 lagi hilang dalam bencana terkini yang melanda kepulauan itu, dengan ratusan lagi mengalami kecederaan selepas ribut melanda di bahagian selatan dan tengah, menurut polis kebangsaan.

Lebih 380,000 penduduk lari meninggalkan kediaman mereka dan tempat peranginan tepi pantai ketika taufan Rai melanda pada Khamis seperti taufan super.

Salah sebuah pulau yang paling terjejas, Bohol – terkenal dengan pantainya – di mana sekurang-kurangnya 94 orang terkorban, menurut Gabenor Wilayah, Arthur Yap menerusi Facebook rasminya.

Kebanyakan rumah kayu di bandar pinggir pantai, Ubay, musnah dan kapal-kapal kecil nelayan rosak, di mana perintah darurat diisytiharkan. Seorang pegawai kanan di agensi bencana kebangsaan berkata dia tidak menjangkakan terlalu banyak kerosakan.

“Sangkaan saya salah selepas laporan yang diterima,” kata Casiano Monilla, timbalan pentadbiran bagi operasi.

Rai melanda Filipina pada penghujung musim taufan – kebanyakan taufan terbentuk antara Julai dan Oktober.

Para saintis sudah lama memberi amaran bahawa taufan akan menjadi lebih kuat dengan pantas ketika dunia semakin panas disebabkan oleh perubahan iklim berpunca daripada perbuatan manusia. – AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -