Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Syarikat Malar Setia Sdn Bhd, semalam, telah mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bagi semua kakitangannya berserta keluarga yang berlangsung di perkarangan syarikat berkenaan di Perindustrian Lambak Kanan, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rakan Pengurusan Syarikat, Haji Abdul Rahman bin Haji Metassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Syarikat Malar Setia Sdn Bhd, Lim Chin Lam dan para jemputan khas.
Di samping menyajikan pelbagai hidangan, Malam Sambutan Tahun Baru Cina berkenaan dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan pemberian ‘angpau’ yang disampaikan oleh tetamu kehormat dan pengarah urusan syarikat berkenaan.



Lim Chin Lam ketika ditemu bual berkata, majlis sambutan berkenaan merupakan acara tahunan khas untuk kakitangan syarikat yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara syarikat dan kakitangan berserta keluarga mereka.
Hampir 1,000 jemputan hadir di majlis berkenaan yang terdiri daripada pelbagai agama yang sama-sama memeriahkan lagi acara Rumah Terbuka Malar Setia Sdn Bhd Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2017.