Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Rai Hari Kebangsaan penuh semangat dalam norma baharu

    Oleh Yusrin Junaidi

    Negara Brunei Darussalam menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah dan gilang-gemilang hari ini, 23 Februari, di mana Bandar Seri Begawan telah dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum dan usia yang berkunjung ke upacara sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 meskipun negara dalam Fasa Awal Endemik wabak COVID-19.

    Berbekalkan semangat patriotik yang tinggi demi negara tercinta, tidak mematahkan semangat Haji Abdul Jalil bin Rashid, dari Persatuan PAPDA, untuk menyertai upacara perbarisan lalu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara bagi memeriahkan acara.

    Meskipun menurut beliau sambutan tahun ini sedikit berbeza dari tahun-tahun yang sudah berikutan penularan wabak, upacara Sambutan Hari Kebangsaan tetap dijalankan dengan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    “Dengan menghadirkan diri ke ibu kota, ia adalah sebagai salah satu tanda komitmen kami pada penghayatan dan penghargaan kepada erti kemerdekaan sebagaimana yang dititahkan oleh Baginda Sultan,” ujarnya.

    Sementara itu mantan Setiausaha Agung Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, ketika ditemui berpendapat, upacara perbarisan tahun ini sangat berbeza atas sebab-sebab kekhuatiran terhadap penularan wabak yang masih melanda Negara Brunei Darussalam.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui ketika ditemui semasa upacara sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38.
    Pengarah Sumber Manusia BSP, Hajah Zainab merasa amat bersyukur dapat menyertai upacara.
    Mantan Setiausaha Agung POLSARA, Haji Awang Yahya ketika ditemui berpendapat, upacara perbarisan tahun ini sangat berbeza atas sebab-sebab kekhuatiran terhadap penularan wabak yang masih melanda Negara Brunei Darussalam.
    Ketua Kebudayaan Bahagian Murut di Daerah Temburong, Badan bin Lasung ketika ditemu bual.
    Meskipun negara masih di bawah ancaman penularan wabak, orang ramai masih berpusu-pusu menghadirkan diri ke ibu kota untuk sama-sama memeriahkan upacara sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38. -Gambar Infofoto
    Berbekalkan semangat patriotik yang tinggi demi negara tercinta, tidak mematahkan semangat Haji Abdul Jalil bin Rashid, daripada Persatuan PAPDA, untuk menyertai upacara perbarisan lalu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Menurutnya, walaupun kita sedang bertungkus lumus membendung penularan wabak COVID-19, kita semestinya mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian kesihatan dan memastikan keadaan kesihatan dalam keadaan baik dan membuat ujian saringan pantas antigen (ART) yang telah disediakan sebelum menyertai upacara berkenaan.

    Tambah beliau, walaupun merasa cemas tentang wabak tetapi semangat peserta-peserta begitu terserlah untuk memeriahkan upacara berkenaan. Ini menunjukkan adanya kesedaran daripada para peserta akan pentingnya memperingati sejarah dan juga mengingati kembali akan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    “Bagi ahli-ahli POLSARA, kami menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam walaupun negara sedang bergelut membendung penularan wabak COVID-19, Baginda turun untuk bersama-sama rakyat sekalian.

    “Ini membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat menyayangi rakyat sekalian dan kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana mempunyai seorang raja yang begitu pengasih dan penyayang kepada rakyatnya,” ujar beliau.

    Pengarah Sumber Manusia, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Zainab binti M.A. Omar, mewakili Brunei Shell Joint Venture ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas apa yang kita hadapi ketika ini dalam menangani penularan wabak COVID-19.

    Beliau juga ingin merakamkan rasa amat bersyukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kepimpinan Baginda Sultan berserta barisan menteri-menteri kabinet yang mana telah menangani krisis penularan COVID-19 dan membawa Negara Brunei Darussalam ke tahap yang paling tinggi dalam program vaksinasi secara global.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, ketika ditemui juga sama-sama merafakkan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pimpinan yang tidak berbelah bahagi serta melindungi rakyatnya daripada penularan wabak menerusi program vaksinasi. Beliau mewakili Bank Baiduri merasa amat sangat gembira kerana dapat menyertai upacara berkenaan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun.

    “Upacara berkenaan adalah sangat penting untuk diraikan setiap tahun. Walaupun penularan wabak di Negara Brunei Darussalam menjadi satu kebimbangan namun upacara ini perlu diteruskan dengan SOP ketat yang telah ditetapkan, serta menjaga kebersihan diri, membuat penjarakan sosial, menggunakan pelitup muka dan perkara-perkara lain yang perlu untuk membendung penularan wabak.

    “Dengan adanya acara ini, kami dari Bank Baiduri sangat-sangat gembira dengan upacara yang berlangsung hari ini, walaupun ianya diadakan dengan sedikit berbeza dan bersederhana,” ujarnya.

    Media Permata juga berkesempatan menemu bual, Ketua Kebudayaan Bahagian Murut di Daerah Temburong, Badan bin Lasung berkata, mengenai sambutan tahun ini amat meriah dengan penyertaan beberapa puak dari keempat-empat daerah sambil meningkatkan kewaspadaan dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...