Rai Hari Kemenangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, hari ini meraikan Hari Kemenangan Bangladesh ke-49 tahun dengan penuh semangat di pejabat suruhanjaya berkenaan di Kampung Sungai Akar.

Majlis yang dihadiri oleh komuniti Bangladesh, pegawai suruhanjaya tinggi berserta rakyat Bangladesh yang berada di negara ini itu telah dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh dengan iringan lagu kebangsaan negara berkenaan yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara Mahmud Hussain.

Tuan Yang Terutama kemudian menyampaikan ucapan yang antara lain menyembahkan dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda kerana telah memberikan peluang kepada para profesional, penuntut dan pekerja dari Bangladesh untuk menunjukkan bakat, kepakaran dan kemahiran mereka ketika mereka bekerja di negara ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan masyarakatnya tentang kepentingan Hari Kemenangan Bangladesh.

Turut disampaikan pada majlis tersebut ialah pesanan-pesanan daripada presiden dan perdana menteri Bangladesh.

Sempena sambutan berkenaan, Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh juga mengadakan Majlis Persembahan Tarian Budaya Bangladesh.

Upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara Mahmud Hussain.