Rai Hari Penyelam Wanita Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Sempena menyambut Hari Penyelam Wanita Antarabangsa, Poni Divers telah menganjur aktiviti menyelam untuk ahlinya semalam.

Sekumpulan 10 penyelam wanita diketuai pengajar penyelaman wanita Poni Divers, Dayang Amal Afina binti Abdul Malik telah menyelam di tapak kegemaran Dolphin Brunei pada kedalaman 24 meter dan Pelong Reef diikuti perkelahan di Pulau Pelumpong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, ia merupakan acara Hari Penyelaman Wanita PADI kedua yang dianjurkan.

Hampir 37 peratus daripada jumlah penyelam global adalah wanita dan disebabkan kempen besar yang dilancarkan oleh Poni pada tahun lalu, jumlah penyelam wanita telah mencecah 43 peratus.

Kenyataan menambah kumpulan Poni yang merupakan syarikat induk untuk Poni Divers berusaha merekrut lebih ramai wanita di tempat kerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih mesra wanita serta mengembangkan kemahiran mereka dalam jawatan pemimpin.

Pengarah Pembangunan Perniagaan, Anna Aziz mengatakan, “Kumpulan Poni menyokong komitmen kesamaan jantina di tempat kerja, mempertingkat perwakilan jantina bukan sahaja pada tahap operasi dan pentadbiran tetapi juga pada tahap kepimpinan.”

Selain itu, Poni Divers juga komited untuk membangunkan komuniti selam yang menggalak dan memperkasa wanita semua peringkat umur untuk menjelajah dunia di dalam air dengan yakin dan selamat.

Para penyelam bergambar ramai ketika meraikan Hari Penyelam Wanita Antarabangsa. – Gambar serahan Poni Divers