Oleh Izah Azahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), kelmarin, meraikan pencapaian pelajar-pelajar Tahun 13 yang telah menamatkan pengajian mereka di sekolah berkenaan pada Majlis Meraikan Pencapaian Tahun 10 hingga 11 dan Majlis Tamat Pengajian Tahun 13 yang berlangsung di Auditorium Pusat Kesenian JIS.
Salah seorang graduan yang diraikan ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Qiana.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan diikuti dengan ucapan daripada Pengetua JIS, Barnaby Sandow serta ucapan daripada Timbalan Ketua Pelajar Perempuan, Uma Roy Prabhakaran dan Renee Teo.
Majlis malam itu diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar yang termasuk Anugerah Kesenian, Sukan dan Perkhidmatan bagi Model Delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Tahunan, Anugerah Pendidikan Alam Sekitar Eco-JIS, Perkhidmatan kepada Pusat Penemuan Luar dan Anugerah Emas Antarabangsa; Anugerah Akademik IGCSE bagi pelajar Tahun 10 dan 11; Anugerah Akademik Tingkatan Enam bagi Tahun 12, hadiah-hadiah A-Level dan IB; hadiah-hadiah bagi mata pelajaran Tahun 13; Anugerah Pencapaian Akademik Cemerlang JIS; hadiah pengetua bagi perkhidmatan kepada sekolah; dan hadiah pelajar tingkatan enam tahunan. Majlis telah diakhiri dengan Majlis Tamat Pengajian Tahun 13.
