Rai sambutan jubli perak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Masjid Kampung Batu Marang meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25 dengan majlis sambutan jubli perak yang berlangsung di masjid berkenaan, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato turut menyempurnakan pembukaan tirai bagi papan kenangan sempena Majlis Sambutan Jubli Perak Masjid Kampung Batu Marang sebelum menyampaikan cenderamata kenangan kepada imam-imam yang pernah bertugas sejak 1996 sehingga kini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar.

Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh kumpulan Dikir Masjid Kampung Batu Marang kemudian, Doa Selamat ‘Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam’ dibacakan oleh Awang Saiful Rizal.

Sejak dibina kira-kira 25 tahun lalu, selain mengadakan berbagai-bagai aktiviti keagamaan, masjid berkenaan juga menjadi pengukuh perpaduan, mendidik dan membimbing setiap generasi untuk menimba dan memperkasa ilmu agama.

Masjid Kampung Batu Marang telah mula diguna pakai pada 19 Januari 1996.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyempurnakan pembukaan tirai papan kenangan sempena sambutan jubli perak Masjid Kg Batu Marang.