Rai ulang tahun penubuhan ke-60

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 5 MAC – Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini, telah mengadakan Upacara Perbarisan Sempena Penubuhan Jabatan Penjara ke-66, Tahun 2020 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga berkesudian memeriksa perbarisan seterusnya menyampaikan ucapan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud dan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.

Upacara perbarisan diakhiri dengan bacaan doa oleh Wadar 536 Haji Mohd Amin bin Haji Mohammad sebelum tetamu kehormat dan para Jemputan beredar ke Dewan Silaturrahim, Pusat Latihan, Jabatan Penjara bagi Acara Penandatanganan Skim Takaful berkelompok Pegawai dan Kakitangan Jabatan Penjara bersama Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA).

Menandatangani bagi pihak TBA ialah Pengarah Urusan TBA, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya. Turut hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Pengurus Besar TBA, Awang Barudin bin Haji Kudil.
Menandatangani bagi pihak Jabatan Penjara pula ialah Pemangku Pengarah Penjara, Haji Muhammad ‘Isamuddin bin Abdullah Juna.

Penandatanganan skim berkenaan merupakan langkah positif bagi mengimbangi risiko kerja dan imbalan bagi pegawai dan kakitangan penjara yang sentiasa berdepan dengan pelbagai bahaya semasa bertugas selain bagi memeduli kesejahteraan pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.

Acara pada pagi tadi seterusnya diteruskan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara bagi 2019 kepada seramai 30 orang penerima.

Antara yang hadir sama pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan KHEDN, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan, ketua-ketua cawangan daripada agensi-agensi kerajaan Daerah Tutong, ahli-ahli Jaksa Pelawat Jabatan Penjara, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jemputan-jemputan khas lainnya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri memeriksa perbarisan sempena penubuhan Jabatan Penjara ke-66 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.