Rai ulang tahun TASKA YSHHB

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah memperingati ulang tahun penubuhannya dengan majlis yang diadakan di dewan serba guna taman asuhan berkenaan.

Hadir selaku kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Mohamed Fliti bin Abdel Majed.

Dalam ucapannya, Awang Mohamed Fliti menekankan mengenai kepentingan untuk mengajar kanak-kanak mengenai Melayu Islam Beraja, identiti dan budaya Brunei serta siapa mereka. Beliau turut melahirkan keinginannya untuk melihat kanak-kanak di sekolah itu bukan sahaja belajar mengenai nombor dan membaca malah seimbang dari segi sosial.

Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua, Datin Hajah Zainab binti Haji Abd Wahab yang menyatakan bahawa sepanjang 28 tahun penubuhannya, YSSHB telah menyaksikan pelbagai pencapaian termasuk penubuhan TASKA yang kini berusia 23 tahun.

Beliau menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru dan kakitangan atas komitmen, dedikasi dan kerja keras mereka dalam memberikan pendidikan berkualiti.

Kanak-kanak TASKA YSHHB ketika menghadiri majlis memperingati ulang tahun penubuhan TASKA YSHHB, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir