Raih ganjaran ibadah korban

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi & Daniel Lim

Dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidiladha, selain merebut ganjaran ibadah korban, ahli-ahli Takmir Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar telah mengadakan pengagihan daging korban di perkarangan Masjid Utama Muhammad Salleh sebagai tanda syukur kepada Allah SWT di atas nikmatnya.

Pada tahun ini, seekor kerbau telah dikorbankan oleh ahli-ahli Takmir Masjid Utama Muhammad Salleh.

Pengagihan daging korban tersebut telah disempurnakan oleh Mantan Ketua Kampung Menengah, Ampuan Hussain bin Mattahir kepada lebih 50 orang penerima di kalangan mereka yang layak menerimanya.

Salah seorang ahli Takmir Masjid Utama Muhammad Salleh menyatakan bahawa majlis korban yang diadakan hari ini berjaya menyatukan silaturahim di kalangan semua peringkat umur dan penduduk kampung serta dapat melipat gandakan amalan kebajikan melalui ibadah korban yang telah disempurnakan.

Sementara itu, di Daerah Belait, majlis seumpama turut dianjurkan oleh Persatuan Mualaf Daerah Belait yang diadakan di kediaman salah seorang ahli persatuan tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Ketua Unit Dakwah dari cawangan Daerah Belait Pusat Dakwah Islam (PDI), Hajah Salimah binti Hassan.

Dengan mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli, majlis itu turut memberikan peluang yang unik kepada saudara-saudara baharu untuk menyaksikan demonstrasi praktikal Hari Raya Korban yang telah dianjurkan.

Seramai 15 orang saudara baharu turut menyertai majlis itu sebagai sebahagian daripada Kursus Panduan Lanjutan (II) yang diadakan selama dua minggu anjuran Unit Dakwah Daerah Belait.

Selepas itu, acara diteruskan lagi dengan majlis tahlil dan Doa Arwah, diikuti dengan para peserta menerima daging ibadah korban pada akhir acara.

Pembahagian daging korban dilaksanakan oleh Persatuan Mualaf Daerah Belait.
Hajah Salimah mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima.
Sebahagian daripada ahli Takmir Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar ketika bergotong-royong melapah daging korban untuk diagih-agihkan kepada para penerima.