Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat, di mana di dalamnya terdapat keistimewaan serta terhimpun rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Pada bulan tersebut juga, pintu-pintu syurga telah terbentang luas dan peluang untuk mendapatkan kelebihan dan pahala yang berlipat ganda dibuka seluas-luasnya kepada hambanya.
Perkara tersebut merupakan antara intipati ceramah bertajuk ‘Ramadan Syahrul Quran’ dalam Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Hadir sama mendengarkan ceramah tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan isteri.
Juga hadir Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; dan Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.
Ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, KHEU, Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail itu merupakan kelolaan kementerian berkenaan melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien.
Program berkenaan merupakan satu program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.
Program tersebut juga turut memberikan peluang kepada para pengunjung untuk memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan. Turut sama menyerikan program ini ialah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Bahagian Pendakwaan Syarie dan Bahagian Penguatkuasaan Agama, KHEU.