Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Agama Islam mendidik umatnya untuk meraih kebahagiaan di akhirat tanpa mengetepikan kesejahteraan duniawi, oleh itu, amalan bersukan dan aktiviti riadah menjadi sebahagian perkara yang diambil berat oleh agama dalam melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas.
Perkara itu disentuh oleh Pegawai Kaunselor di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Ady Zaky bin Haji Matassim semasa menyampaikan Tazkirah Subuh bertajuk ‘Sunnah dan Amalan Lain yang Dilupakan’ sempena Program Masjidku Makmur Negara Berkat, yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Hadir bersama-sama jemaah masjid dalam menjayakan program tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Sarudin bin Haji Timbang.
Menurutnya, umat Islam tanpa mengira faktor usia wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan agar dapat menunaikan amal ibadah dengan baik dan sempurna.
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya agar menjaga kesihatan, memiliki fizikal yang kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit. Baginda turut menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan para sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara berkaitan kehidupan seharian, seperti menyertai para sahabat bermain panah, menunggang kuda, berjalan kaki sebagai salah satu aktiviti riadah, jelas Awang Ady Zaky.
Program Masjidku Makmur, Negara Berkat turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk memulakan langkah dan keceriaan hari mereka bersempena acara ‘Bandarku Ceria’, dengan menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid selepas sembahyang fardu dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.
Program tersebut merupakan antara landasan untuk menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah SWT untuk diri kita, keluarga dan juga Negara.






























