Raih keberkatan di bulan Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, memperingati Sambutan Nuzul Al-Quran dengan majlis sambutan yang berlangsung di Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Setiausaha Tetap, Awang Ajman bin Haji Meludin, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari Belia Asia Tenggara 2017, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menghadiri majlis tersebut.

Pada majlis itu, Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’.

Majlis diikuti dengan penyampaian sumbangan wakaf kepada masjid berkenaan.

Di samping menyemarakkan lagi amalan beragama dalam bulan suci Ramadan ini, majlis juga dihasratkan sebagai wadah bagi memperingati hari kebesaran Islam untuk meraih keberkatan dalam bulan yang mubarak ini.

Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan hubungan kerja yang sedia terjalin dalam kalangan warga kementerian semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT.