Raih keberkatan Lailatulqadar dengan meningkatkan amalan

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi kita akan menyabut kedatangan bulan Syawal. Dalam masa yang sama kita juga berada dalam fasa terakhir bulan Ramadan iaitu 10 malam terakhir yang menyeru seluruh umat Islam melipat gandakan amalan kepada Allah.

Terdapat satu malam yang amat bermakna yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya bahawa Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut iaitu malam Lailatulqadar.

Ia merupakan satu malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah di dalam Surah Ad-Dukhon ayat 3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.”

Seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 mengenai malam Lailatul Qadar ini berada di bulan Ramadan yang bermaksud:

Amalan membaca al-Quran merupakan salah satu amalan yang baik untuk mendapatkan rahmat yang luar biasa daripada Allah. – Agensi

Melakukan ibadah pada malam Lailatulqadar itu lebih baik kerana dikatakan malam tersebut merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Sebagaimana dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’I, daripada Abu Hurairoh telah berkata: “Ketika mana telah datang bulan Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW:

“Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatulqadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu.”

Terdapat beberapa amalan yang terbaik untuk kita lakukan pada 10 malam terakhir tersebut seperti menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran. Sebagaiman daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata yang bermaksud:

“Sesiapa yang bangun malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Selain itu, membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.

Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.

Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunanNya. Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda:

“Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.” – Agensi