Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Raih keberkatan malam Nisfu Syaaban

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dengan limpahan rahmat kurniaan Ilahi, kini umat Islam sudah melangkah ke pertengahan bulan Syaaban iaitu bulan kelapan dalam takwim hijrah.

    Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang mempunyai rahsia keistimewaan tersendiri sebelum hadirnya bulan suci Ramadan kerana terdapat di dalamnya satu malam yang penuh berkat, rahmat dan doa dimakbulkan yang dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban.

    Antara waktu doa mustajab

    Keberkatan Nifsu Syaaban ini turut dijelaskan oleh Imam As-Syafie dalam kitabnya Al-Um bahawa ‘telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Fitrah, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.

    Maka adalah sewajarnya kita menghidupkan malam tersebut dengan berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain amalan kebajikan untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Hal ini jelas terbukti menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 sebagaimana tafsirnya;

    “Oleh itu ingatlah kepadaKu dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur akan nikmatKu.”

    Sebagai umat Islam, kita hendaklah menghidupkan malam Nifsu Syaaban dengan memperbanyakkan amal kebajikan seperti memperbanyakkan membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, dan seumpamanya.
    Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang mempunyai rahsia keistimewaan tersendiri kerana terdapat di dalamnya satu malam yang penuh berkat yang dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban.
    Seperti lazimnya, seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam tidak kira di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara serta rumah-rumah persendirian tidak ketinggalan dalam sama-sama menghidupkan malam Nifsu Syaaban ini dengan mengerjakan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, bacaan Surah Yasin dan bacaan doa khusus. – Gambar fail
    Jika umat Islam yang sudah terbiasa menunaikan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban atau bulan-bulan sebelumnya secara tidak langsung kita akan berasa mudah menjalani hari-hari ibadah puasa di bulan Ramadan.

    Rebutlah peluang selagi ada

    Sebagai umat Islam, kita hendaklah merebut peluang selagi masih dikurniakan rezeki menikmati kehidupan sementara berada di dunia ini sebagaimana mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat, membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, bertaubat, beristighfar, bersedekah dan seumpamanya.

    Hal ini kerana di bulan Syaaban ini merupakan antara bulan yang disukai oleh Rasulullah SAW kerana itu Baginda sentiasa memperbanyakkan puasa sunat berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Ini terbukti menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi yang bermaksud:

    “Daripada Aisyah RA, dia telah berkata: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”

    Sebagai persiapan kewajipan puasa

    Di samping mengerjakan amal ibadat dan kebajikan, ia juga merupakan suatu latihan rohani bagi mempersiapkan diri menyambut dan mengagungkan bulan suci bagi seluruh umat Islam menjalani kewajipan berpuasa.

    Jika umat Islam yang sudah terbiasa menunaikan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban atau bulan-bulan sebelumnya secara tidak langsung kita akan berasa mudah, ringan dan tenang sahaja dalam menyelami hari-hari ibadah puasa di bulan Ramadan.

    Dalam pada itu, kita diingatkan juga untuk mengqada puasa Ramadan yang belum diqada dan menunaikan puasa itu semasa masih ada waktu sebelum tibanya bulan Ramadan kerana perbuatan melengah-lengahkan qada puasa tanpa keuzuran sehingga datangnya bulan Ramadan adalah berdosa dan diwajibkan mengqada puasa dan membayar fidyah.

    Demi menggapai redha Ilahi

    Di saat kita menghadapi cabaran krisis kesihatan dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP), seperti lazimnya, seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam tidak kira di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara serta rumah-rumah persendirian juga tidak ketinggalan dalam sama-sama menghidupkan malam Nifsu Syaaban ini dengan mengerjakan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah.

    Begitu juga diperindahkan lagi dengan bacaan Surah Yasin dan bacaan doa khusus bagi memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur dengan beramal ibadat kepadanya, memohon untuk dijauhkan daripada segala bala bencana serta dimurahkan rezeki yang halal lagi bermanfaat.

    Oleh yang demikian, kesyukuran dipanjatkan kepada Maha Pencipta, dalam kita menjejaki bulan Syaaban ini adalah sewajarnya kita menyedari bahawa untuk merebut peluang tersimpan rahsia ribuan kemanisan ini dengan sebaik-baiknya seperti menghidupkan malam Nifsu Syaaban dengan sama-sama memperbanyakkan amal kebajikan.

    Di samping, kita sentiasa membersihkan rohani dan jasmani dengan sentiasa memohon keampuan dan keredhaan Allah SWT kerana bulan Syaaban inilah antara bulan mulia di sisiNya yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi seluruh umat Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...