BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Masjid Serdang melalui jawatankuasa kerja takmirnya, kelmarin, telah mengungkayahkan Majlis Bertahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang berlangsung di masjid berkenaan di Jalan Kota Batu.
Menurut kenyataan yang diberikan, lebih 50 orang menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Takmir Masjid Serdang, jemaah masjid dan penduduk Kampung Sungai Matan, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut.
Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal dan Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Masjid Serdang, Haji Moksin bin Haji Mokti. Manakala itu, Doa Arwah dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Serdang, Haji Khairul Azmy bin Haji Bakar.
Kenyataan menyatakan, majlis berkenaan merupakan julung kalinya dianjurkan oleh Masjid Serdang sebagai aktiviti takmir di bulan Ramadan tahun ini.
Masjid Serdang telah menyusun dan akan mengendali beberapa aktiviti takmir di sepanjang Ramadan ini dengan tujuan untuk meraih keistimewaan dan keberkatan bulan Ramadan dan pada masa yang sama sebagai usaha mengimarahkan masjid khususnya Masjid Serdang.
